Padah maki MBPP, langgar PKP

Lelaki tersebut ditahan di rumahnya di Jelutong Timur petang tadi.
Lelaki tersebut ditahan di rumahnya di Jelutong Timur petang tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang lelaki yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain mengeluarkan kata-kata kesat kepada penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ditahan di rumahnya di Jelutong Timur hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam kejadian 2 April lalu, lelaki terbabit didakwa bertindak demikian pada jam 7.45 pagi.

Menurutnya, lelaki berkenaan telah melarikan diri selepas kejadian tersebut, namun hasil intipan di beberapa lokasi, pihaknya berjaya menahan suspek di rumahnya pada jam 5.30 petang tadi.

"Permohonan reman ke atas lelaki itu akan dibuat di Lokap Berpusat Bayan Baru esok.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, lelaki tersebut mempunyai 15 rekod jenayah lampau melibatkan jenayah dan dadah.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 1 minit 37 saat menunjukkan seorang lelaki membaling gelas yang diminumnya ke arah penguat kuasa MBPP selain mengeluarkan kata-kata kesat.

Difahamkan, lelaki tersebut bertindak demikian kerana berang selepas sepasukan penguat kuasa yang bertugas memintanya pulang dan tidak melepak di gerai susulan penguatkuasaan PKP.

Artikel Berkaitan: