Kes Covid-19 di Malaysia masih mendatar

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Peningkatan kes koronavirus (Covid-19) di Malaysia tidak naik secara mendadak, sebaliknya peningkatan kes baharu disebabkan aktiviti pengesanan aktif di tiga kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada masa ini kes positif Covid-19 yang dikesan di Malaysia adalah pada kadar tujuh hingga lapan peratus daripada jumlah keseluruhan ujian pengesahan yang dijalankan.

“Peningkatan mendadak yang saya maksudkan ialah tiba-tiba dapat 1,000 kes atau 2,000 kes di Malaysia dalam sehari. Setakat ini baik. Data masih lagi mendatar belum lagi naik secara mendadak,” katanya kepada pemberita pada sidang media harian Covid-19, di sini, hari ini.

Beliau berkata, contoh peningkatan mendadak adalah seperti di Amerika Syarikat di mana dalam satu hari ada 25,000 kes positif Covid-19.

“Macam mana Malaysia hendak urus 25,000 kes. Hospital kita pun tak cukup tempat. Ini masalahnya bila kes meningkat secara mendadak,” tambah beliau.

Tiga kawasan PKPD ialah dua kampung di Simpang Renggam, Kluang, Johor dan kawasan di Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor dan Menara City One di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.

Jadi dasar Malaysia dalam mengawal penularan Covid-19 adalah melaksanakan PKP dengan bertujuan menyekat jangkitan tempatan dan memastikan mereka dari luar negara dikuarantin dan meningkatkan pengesanan kes secara aktif, katanya.

Mengenai kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur, dari 28 Februari hingga 1 Mac lalu, beliau berkata, pihaknya percaya sebilangan peserta perhimpunan itu kini mungkin berada di luar negara seperti di Sulawesi, Indonesia, India dan Pakistan.

Artikel Berkaitan:

“Apabila mereka pulang, kami memerlukan kerjasama polis dan Jabatan Imigresen supaya mereka tampil untuk melakukan ujian bagi mengelak mereka menjangkiti orang lain.” katanya.

Sehingga ini, sampel ujian diambil dari kluster Sri Petaling berjumlah 17,012 dengan 1,591 didapati positif, 10,912 negatif manakala 4,500 sampel masih menunggu keputusan.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 179 kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah sebanyak 3,662 kes dengan 61 kematian.- Bernama