Kelantan sedia hantar pelajar agama sertai TVET di Korea, Jerman

Wan Roslan
Wan Roslan
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan melakar langkah berani apabila sedia menghantar pelajar aliran agama untuk menceburi bidang teknikal

berkemahiran tinggi melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Korea dan Jerman.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, peluang tersebut merupakan antara inisiatif terkini kerajaan negeri dalam memperkasa TVET seiring keperluan industri global.

Menurut beliau, melalui Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN), seramai 15 pelajar akan dihantar ke Korea dalam masa terdekat bagi mengikuti latihan teknikal melibatkan bidang enjin, elektrik dan teknologi kenderaan elektrik (EV).

"Ini peluang besar kerana kita bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar teknikal, tetapi turut menyasarkan pelajar aliran agama untuk keluar daripada kepompong tradisional dan meneroka bidang kemahiran.

"Dalam masa sama, kita sedang merintis laluan ke Jerman yang terkenal dengan sistem TVET terbaik dunia," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Ujar beliau, langkah itu dilihat mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan Kelantan selain memenuhi permintaan tenaga mahir dalam sektor berteknologi tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Roslan memaklumkan, kerajaan negeri tidak meminggirkan laluan pengajian Islam apabila terus menghantar pelajar ke Tunisia dan Algeria.

Katanya, seramai 40 pelajar ditawarkan ke Tunisia, manakala usaha sedang dipergiat bagi mendapatkan kuota khusus untuk Kelantan di Universiti Emir Abdelkader, Algeria.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, terdapat 45 pelajar Malaysia di Algeria, namun kita sedang berusaha mendapatkan kuota khas untuk anak Kelantan.

"Perkara ini akan dibincangkan bersama pihak kedutaan dalam mesyuarat di Putrajaya bulan ini," ujarnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!