Kembalikan peranan FeMAC ke dalam PTPK

IPOH – Kerajaan diseru mengembalikan semula peranan wakil Persekutuan Pusat-pusat Latihan Kemahiran Swasta Malaysia (FeMAC) dalam Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi memastikan hala tuju institusi itu kembali kepada matlamat asal penubuhannya.
Bekas Penasihat Kehormat FeMAC, Nordin Abdul Malek berkata, penglibatan wakil FeMAC dalam PTPK amat penting memandangkan persatuan itu merupakan antara pihak utama yang mencetuskan penubuhan perbadanan berkenaan kira-kira dua dekad lalu.
Menurutnya, penubuhan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran adalah hasil desakan industri susulan krisis pembiayaan sekitar 2003 hingga 2004 yang memberi kesan besar kepada institusi latihan dan pelatih.
"Ketika itu FeMAC bekerjasama dengan kerajaan bagi menubuhkan PTPK yang mula beroperasi sekitar 2005 dan 2006 dengan akta tersendiri.
"Sejak awal penubuhannya, wakil FeMAC sentiasa dilantik dalam lembaga bagi memastikan hala tuju PTPK selari dengan keperluan industri latihan kemahiran," katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, Nordin mendakwa sejak 2018, tiada lagi wakil FeMAC dilantik dalam Lembaga Pengarah PTPK menyebabkan ia menimbulkan kebimbangan terhadap keberkesanan fungsi perbadanan tersebut.
Katanya, ketiadaan wakil industri menyebabkan beberapa isu timbul termasuk kekurangan dana, kelewatan pembiayaan, pengagihan kuota yang tidak jelas serta kursus yang tidak menepati keperluan sebenar industri.
"Lebih malang apabila institusi latihan yang mendapat penarafan tinggi seperti lima bintang oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran tidak diberikan keutamaan dalam pembiayaan.
"Sedangkan FeMAC mewakili kira-kira 300 pusat latihan sebagai ahli dan keseluruhan lebih 600 pusat termasuk bukan ahli, sekali gus mempunyai gambaran jelas mengenai keperluan industri dan pelatih,” katanya.
Tambah beliau, wakil FeMAC sebelum ini memainkan peranan penting dalam menyuarakan keperluan pelatih termasuk aspek pembiayaan yuran, penginapan, elaun serta latihan industri.
Dalam masa sama, beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap pelantikan ahli lembaga yang didakwa lebih bersifat politik dan tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan semula pelantikan wakil FeMAC dalam Lembaga Pengarah PTPK seperti yang diamalkan sejak penubuhannya sehingga 2018.
Jelasnya, langkah ini penting bagi memastikan PTPK dapat berfungsi dengan lebih cekap dan efisien serta memenuhi keperluan sebenar industri latihan kemahiran negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

