'Lebih 20,000 keluarga miskin di Terengganu' - Abdul Kahar

Abdul Kahar (berdiri, kiri) menziarahi penerima Rumah Kasih Ihsan kategori Bina Baharu di Kampung Batu 29, Permaisuri, Setiu pada Rabu.
Abdul Kahar (berdiri, kiri) menziarahi penerima Rumah Kasih Ihsan kategori Bina Baharu di Kampung Batu 29, Permaisuri, Setiu pada Rabu.
A
A
A

SETIU – Lebih 20,000 keluarga di Terengganu masih berada dalam kategori miskin berdasarkan data semasa, kata Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri (ICU JPM) Terengganu, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif.

Beliau berkata, pihaknya giat melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Program Peningkatan Pendapatan (PPP) bagi membantu golongan tersebut keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Di bawah program ini, kita turut menyalurkan bantuan yang melibatkan peruntukan khas, termasuk pemberian peralatan kepada keluarga eKasih untuk membolehkan mereka menambah pendapatan.

"Sekiranya mereka berminat menjadi usahawan, kita akan bantu dari segi kemudahan seperti dapur, peti sejuk dan keperluan asas perniagaan lain," katanya ketika majlis penyerahan Rumah Kasih Ihsan kategori Bina Baharu di Kampung Batu 29, Permaisuri di sini pada Rabu.

Menurut beliau, pada tahun 2025, lebih RM900,000 telah dibelanjakan bagi melaksanakan program peningkatan pendapatan tersebut.

"Bagi tahun 2026 pula, kita telah mendapat kelulusan peruntukan sebanyak RM1.1 juta dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 100 peserta eKasih," katanya.

Tambah beliau, pendekatan yang dilaksanakan bukan sekadar pemberian bantuan berbentuk barangan, sebaliknya turut merangkumi program latihan dan kemahiran.

"Kita juga mengusahakan penyertaan anak-anak eKasih dalam program latihan dan TVET. Jika mereka berminat, kita cuba membantu untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang bersesuaian," ujarnya.

Beliau berkata, pada tahun 2025, lebih 50 peserta telah dibantu termasuk dihantar mengikuti latihan di Akademi Binaan Malaysia di Terengganu walaupun kos pengajiannya agak tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Peralatan dan latihan yang diberikan ini sekurang-kurangnya dapat menjamin peluang pekerjaan kepada mereka selepas tamat latihan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk syarikat swasta untuk bersama-sama membantu golongan sasar.

"Kita sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana organisasi atau syarikat yang berminat bagi membantu keluarga eKasih meningkatkan taraf hidup mereka.

"Kita mahu memastikan mereka bukan sahaja mendapat pekerjaan, malah mampu menjana pendapatan yang stabil untuk keluarga dan seterusnya mengukuhkan komuniti eKasih," jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyasarkan untuk mengurangkan jumlah keluarga miskin di negeri ini kepada sekitar 15,000 keluarga menjelang hujung tahun 2026.

"Bantuan yang disalurkan adalah berdasarkan keperluan semasa penerima. Kita akan menilai perkembangan mereka dan jika menunjukkan perubahan positif, bantuan tambahan akan dipertimbangkan," katanya.

Ringkasan AI

  • Lebih 20,000 keluarga di Terengganu masih dalam kategori miskin.
  • Program Peningkatan Pendapatan dilaksanakan untuk membantu golongan miskin.
  • RM900,000 dibelanjakan pada 2025, dan RM1.1 juta diperuntukkan untuk 2026.
  • Program latihan dan kemahiran disediakan untuk anak-anak eKasih.
  • Kerjasama dengan syarikat swasta digalakkan untuk meningkatkan taraf hidup eKasih.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!