X

Kindly register in order to view this article
!

Polis juga manusia biasa, kata menteri

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. Beliau berkata polis telah menahan 368 individu kerana ingkar PKP semalam. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Keberadaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menangani penyebaran wabak koronavirus (Covid-19) bertujuan untuk menyelamatkan setiap nyawa rakyat di negara ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap rakyat di negara ini perlu patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

"Suka saya ingatkan polis juga manusia biasa. Kita yang duduk di rumah pun terfikir pelbagai perkara dan kemungkinan terhadap diri sendiri, inikan pula mereka yang berpanas serta berhujan ketika melaksanakan sekatan jalan raya.

"Saya tidak boleh bayangkan niat baik polis ini dibalas dengan makian," katanya pada Sidang Media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas soalan pemberita berhubung dengan anggota polis yang menggunakan pendekatan tegas terhadap mereka yang melanggar PKP terpaksa disoal siasat.

Ismail Sabri berkata, polis mempunyai peraturan mereka tersendiri dan perkara tersebut turut dimaklumkan sendiri oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

"Kita serahkan kepada Kementerian Dalam Negeri kerana mereka mempunyai standard operasi prosedur (SOP)," katanya.

Mengulas mengenai isu tular surat daripada Pengarah Penjara mengenai kesesakan yang berlaku dalam penjara, beliau berkata, mesyuarat hari ini bersetuju bahawa Peguam Negara, PDRM dan Jabatan Penjara akan menyelesaikan masalah tersebut.

"Mereka akan duduk bersama berbincang dan menyelesaikan masalah dengan segera," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus