Impian Nur Umairah jadi kenyataan, beri nama anak penguin di Langkawi

Nur Umairah turut dibawa melawat Langkawi Wildlife Park yang menempatkan lebih 60 spesies haiwan.
Nur Umairah turut dibawa melawat Langkawi Wildlife Park yang menempatkan lebih 60 spesies haiwan.
A
A
A

LANGKAWI – Impian pesakit kanser otak tahap empat, Nur Umairah Abdul Rahman, 12, untuk bercuti di Pulau Langkawi akhirnya menjadi kenyataan apabila perjalanan tiga hari dua malam bersama keluarganya berakhir Ahad lalu.

Lebih menggembirakan, kanak-kanak itu bukan sahaja berpeluang melihat penguin di depan mata seperti dihajatinya, malah memberikan cadangan nama kepada dua ekor penguin di Underwater World Langkawi.

Pengurus Besar Kedah Tourism, Mohd Zaidy Omar berkata, dua anak penguin itu dinamakan sebagai ‘Dedek’ dan ‘Comot’, mengambil sempena nama haiwan peliharaan kesayangan Nur Umairah.

Nur Umairah di bawa ke Langkawi SkyBridge untuk menikmati keindahan.
Nur Umairah di bawa ke Langkawi SkyBridge untuk menikmati keindahan.

Menurutnya, Dedek merupakan nama ayam peliharaannya, manakala Comot pula adalah nama kucing kesayangannya yang telah mati.

“Di pihak Kedah Tourism selaku penyelaras, kami amat berterima kasih kepada semua penaja yang membantu merealisasikan impian Nur Umairah ke Langkawi. Hanya ALLAH mampu membalas segala jasa dengan sebaik-baik ganjaran,” katanya.

Jelas Mohd Zaidy, sepanjang berada di pulau itu, Nur Umairah turut menerima kunjungan ramai pihak yang tampil menyampaikan sumbangan bagi menceriakan percutiannya.

Katanya, sepanjang berada di Langkawi, Nur Umairah turut dibawa melawat Langkawi Wildlife Park yang menempatkan lebih 60 spesies haiwan serta menaiki kereta kabel di Langkawi SkyBridge.

Artikel Berkaitan:

“Ramai insan mulia hadir mencarinya termasuk di hotel untuk menyampaikan sumbangan. Percutian kali ini menggambarkan betapa bermaknanya pengalaman ini kepada adik Umairah,” ujarnya.

Mohd Zaidy (kiri) menunjukkan cuba menarik perhatian seekor penguin sambil diperhatikan Nur Umairah semasa berkunjung ke Underwater World Langkawi.
Mohd Zaidy (kiri) menunjukkan cuba menarik perhatian seekor penguin sambil diperhatikan Nur Umairah semasa berkunjung ke Underwater World Langkawi.

Sementara itu, Penolong Kurator Underwater World Langkawi, Azizah Mustaffa berkata, cadangan dua nama oleh Nur Umairah akan dicadangkan kepada dua ekor anak penguin yang baharu sahaja dilahirkan di situ.

Dalam pada itu, ibu kanak-kanak tersebut, Noor Shahirah Mohd Fuzi berkata, anaknya yang kini pesakit paliatif dan tidak lagi menjalani rawatan sejak disahkan menghidap kanser otak pada usia enam tahun, sangat teruja sepanjang berada di Langkawi.

Menurutnya, sebelum ini mereka tidak pernah berpeluang ke pulau peranginan itu berikutan kekangan kewangan.

“Saya tidak bekerja dan suami hanya bekerja kampung, memang kami tidak mampu. Terima kasih kepada semua pihak termasuk media yang membantu merealisasikan impian anak saya.

“Dia sangat gembira dapat melihat penguin di depan mata walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda. Selama ini dia hanya tengok di televisyen sahaja,” katanya.

Menurut Noor Shahirah, Nur Umairah juga kelihatan lebih bersemangat sepanjang percutian tersebut kerana diraikan sepenuhnya oleh pelbagai pihak.

Percutian tersebut merupakan inisiatif Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk syarikat swasta dan Cancer Survivors Malaysia.

Turut hadir menyambut ketibaan Nur Umairah di Langkawi ialah Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah serta Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat, Shamsilah Siru.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Nur Umairah disahkan menghidap kanser otak tahap empat ketika berusia enam tahun selepas mengalami masalah kesihatan ketika masih belajar di prasekolah.

Sejak itu, kehidupannya banyak dihabiskan dengan menjalani rawatan dan pemeriksaan di hospital dan pernah menyatakan harapan kepada ibunya untuk bercuti ke Langkawi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!