Remaja mengaku salah ingkar PKP, halang tugas penjawat awam

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

MARANG - Seorang remaja yang sebelum ini ditahan kerana melakukan aksi 'wheelie' di hadapan polis ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas dua tuduhan menghalang tugas anggota polis dan ingkar PKP.

Remaja berusia 16 tahun dari Kampung Seberang Marang, itu mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Engku Nurul Ain Engku Muda.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu pada 31 Mac lalu.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menghalang penjawat awam iaitu Asisten Superintendan Mohd Najib Mohd Nizam daripada menjalankan tugasnya apabila melarikan diri semasa diminta memberhentikan motosikal di Jalan Kampung Seberang Marang, di sini jam 10 malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Direman kerana aksi 'wheelie' depan polis ketika ops PKP

Dengan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Remaja berusia 16 tahun ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang hari ini atas dua pertuduhan menghalang penjawat awam dan ingkar PKP.
Remaja berusia 16 tahun ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang hari ini atas dua pertuduhan menghalang penjawat awam dan ingkar PKP.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah bergerak dari satu tempat yang lain iaitu Kampung Seberang Marang, di sini, ke suatu tempat yang lain iaitu di Jalan Kampung Bukit Kor, di sini, dalam mana-mana kawasan tempat jangkitan, jam 10.15 malam.

Artikel Berkaitan:

Dengan itu, dia didakwa di bawah Peraturan 3 (1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11(1), Peraturan yang sama, jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, L.Shantini manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah seterusnya menetapkan sebutan kes pada 30 Jun depan untuk jatuh hukum sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mahkamah membenarkan remaja itu dibebaskan dengan jaminan RM2,000 bersama seorang penjamin.