Speaker DUN Pulau Pinang sumbang sebulan gaji

Law Choo Kiang
Law Choo Kiang
A
A
A

GEORGETOWN - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang akan menderma sebulan gajinya kepada Tabung Covid-19 Pulau Pinang.

Menurutnya, keputusan itu dibuat sebagai tanda sokongan ke atas usaha kerajaan negeri dalam memerangi wabak koronavirus (Covid-19).

"Saya amat yakin, di bawah pimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Pulau Pinang akan berjaya meminimumkan kesan wabak ini terhadap rakyat negeri ini.

"Kita harus bersyukur dengan usaha petugas barisan hadapan untuk menghapuskan wabak ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebagai rakyat kita perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan duduk dalam rumah yang mana ia adalah cara terbaik untuk membantu melawan wabak tersebut.

Sementara itu, dalam sidang medianya tadi, Kon Yeow mengucapkan terima kasih kepada Choo Kiang di atas sumbangannya itu.

Kon Yeow turut menyatakan penghargaannya kepada semua wakil rakyat yang menyumbang 30 peratus daripada gaji mereka untuk Tabung Covid-19 Pulau Pinang.

"Terima kasih kepada Speaker DUN Pulau Pinang dan semua wakil rakyat termasuk pembangkang yang sanggup mengetepikan perbezaan politik dan bergabung melawan Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk pembangkang mengumumkan akan menyumbangkan 30 peratus daripada gaji mereka kepada Tabung Covid-19 Pulau Pinang.

Dalam kenyataan bersama Ketua Beckbencher, Teh Lai Heng dan Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor berkata, sumbangan itu selaras dengan usaha kerajaan Pulau Pinang dalam menangani wabak Covid-19 serta pasca PKP.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Pulau Pinang sumbang 30 peratus gaji