X

Kindly register in order to view this article
!

ILP Kepala Batas bina tiga unit kubikel SARI

Fungsi kubikel adalah untuk mengasingkan pesakit separa kritikal yang memerlukan bantuan mesin pernafasan sementara menunggu keputusan saringan Covid-19.
A
A

KEPALA BATAS - Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas di sini menjadi institut kemahiran awam pertama membina tiga unit Severe Acute Respiratory Infection (SARI) Cubicle.

Fungsi kubikel itu adalah untuk mengasingkan pesakit separa kritikal yang memerlukan bantuan mesin pernafasan sementara menunggu keputusan saringan koronavirus (Covid-19) di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.

Pengarah ILP Kepala Batas, Zamzuri Hassan berkata, dengan kepakaran tenaga pengajar ILP Kepala Batas, kubikel itu dapat disiapkan dalam masa satu hari sahaja.

"Usaha murni ini adalah sebagai tanggungjawab sosial kepada petugas barisan hadapan negara dalam menangani penularan wabak Covid-19.

"Dengan kepakaran bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang terdapat di ILP Kepala Batas, kami bersedia menghulurkan bantuan kepada pihak barisan hadapan bagi membantu meringankan beban mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ILP Kepala Batas di sini menjadi institut kemahiran awam pertama membina tiga unit kubikel SARI.
ILP Kepala Batas di sini menjadi institut kemahiran awam pertama membina tiga unit kubikel SARI.

Menurutnya, projek yang menelan belanja hampir RM6,000 adalah hasil kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kepala Batas dan Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas (ILPKB).

Mengulas lanjut, beliau berkata, ILP Kepala Batas menyumbangkan tenaga kerja untuk pemasang kubikel dan tiga unit penyaman udara sementara bahan binaan adalah sumbangan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kepala Batas.

"Projek yang diketuai oleh Sofiuddin Mohamad Isa dan dibantu oleh pengajar Teknologi Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara (PPU) telah dibangunkan setelah perbincangan dengan Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma, Dr Suhaida Hanis Johani mengenai bantuan yang diperlukan oleh pihak hospital dalam menangani Covid-19 ini," katanya.

Kubikel SARI itu diserahkan kepada Pengarah Hospital Kepala Batas, Dr Norhasimawati Abdul Mutalib sambil disaksikan oleh wakil Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Azmi Ali.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus