7 Mei untuk kos, pendengaran permohonan Najib tangguh bayar AS$1.3 bilion kepada SRC

Pada Selasa, Mahkamah Tinggi memutuskan Najib bertanggungjawab terhadap kerugian AS$1.3 bilion yang dialami SRC. Foto fail Bernama
Pada Selasa, Mahkamah Tinggi memutuskan Najib bertanggungjawab terhadap kerugian AS$1.3 bilion yang dialami SRC. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Jumaat menetapkan 7 Mei ini untuk memutuskan mengenai kos dan mendengar permohonan Datuk Seri Najib Razak bagi penangguhan pelaksanaan terhadap pembayaran sebanyak AS$1.3 bilion kepada SRC International Sdn Bhd.

Peguam, Datuk Lim Chee Wee yang mewakili SRC, mengesahkan tarikh berkenaan ditetapkan Penolong Pendaftar, Mohd Syafiq Mustaza menerusi secara dalam talian. 

"Prosiding pada bulan depan akan dijalankan menerusi Zoom (secara dalam talian),” katanya.

Pada Selasa lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bekas Perdana Menteri itu bertanggungjawab terhadap kerugian AS$1.3 bilion yang dialami SRC, selepas didapati melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kedudukan serta menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi.

Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dalam keputusan membenarkan saman syarikat itu berjumlah AS$1.18 bilion terhadap Najib mengarahkan beliau membayar jumlah berkenaan, selain AS$120 juta yang diterima daripada syarikat terbabit ke dalam akaun bank peribadinya, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan AS$1.3 bilion.

Mahkamah bagaimanapun tidak menetapkan kos dan membenarkan Najib menangguhkan sementara pembayaran AS$1.3 bilion itu dengan syarat beliau mengemukakan permohonan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan.

Dalam penghakimannya, Ahmad Fairuz yang kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan berkata, mahkamah mendapati Najib telah menyalahgunakan jawatannya, sekali gus membolehkan SRC memperoleh pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWAP) di bawah jaminan kerajaan.

Penyalahgunaan kuasa membolehkan penyaluran terus RM3.6 bilion ke luar negara tanpa pengawasan sewajarnya, sekali gus mengakibatkan penyelewengan AS$1.1 bilion melalui struktur pelaburan palsu.

SRC memulakan saman pada Mei 2021, mendakwa Najib telah melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi.

Artikel Berkaitan:

SRC menuntut ganti rugi, faedah, kos dan deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab terhadap kerugian syarikat akibat pelanggaran tugas dan amanahnya, dan menuntut Najib membayar balik kerugian AS$1.18 bilion yang dialaminya.

Syarikat terbabit turut menuntut AS$120 juta daripada Najib. - Bernama

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!