Liga M: Tunggu kenyataan rasmi FAM, MFL

Ab Ghani Hassan. - FOTO: MFL
Ab Ghani Hassan. - FOTO: MFL
A
A
A

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan meminta semua pihak bertenang dan menunggu kenyataan rasmi berhubung status Liga Malaysia (Liga-M) yang akan dikeluarkan badan pentadbir liga itu dalam masa terdekat.

Menurutnya, kenyataan tersebut yang akan dikeluarkan Presiden MFL yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin akan menyentuh beberapa perkara termasuk perjalanan Liga-M musim ini.

“Akan ada kenyataan rasmi daripada presiden berkenaan beberapa perkara termasuk saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tidak menggalakkan perhimpunan secara besar-besaran bagi tempoh enam bulan hingga setahun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya berharap semua pihak bersabar dan tunggu kenyataan rasmi daripada pihak kami dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Ab Ghani turut memberitahu, pihaknya sentiasa berbincang dengan pihak berkepentingan menerusi persidangan video bagi memastikan keputusan terbaik boleh dibuat untuk kepentingan Liga-M.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, setiap perkara perlu diteliti terlebih dulu sebelum FAM mahupun MFL membuat sebarang keputusan.

Beliau memberitahu, FAM dan MFL akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai tentang status Liga-M yang mula ditangguhkan sejak 16 Mac lalu ekoran pandemik Covid-19.

“Ini saranan baharu yang dikeluarkan pihak KKM. Dari segi (status penganjuran) bola sepak (Liga-M), kami juga akan berhubung lanjut dengan pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA),” jelasnya.

Artikel Berkaitan: