'Hukuman khidmat masyarakat lebih baik berbanding penjara, denda'

Gambar hiasan. Gambar kecil: ZUHAIRI
Gambar hiasan. Gambar kecil: ZUHAIRI
A
A
A

KUANTAN - Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) menyarankan supaya hukuman khidmat masyarakat dikenakan ke atas pesalah muda yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya, Datuk Zuhairi Ab Kadir berkata, hukuman khidmat masyarakat lebih baik dikenakan terhadap mereka berbanding denda atau penjara agar untuk memberi pengajaran kepada mereka.

Menurutnya, ini kerana pesalah muda yang dipenjara kerana gagal membayar denda akan memberi kesan seumur hidup kerana mereka mempunyai rekod jenayah.

"Mereka ini perlu diberi peluang kedua agar tidak mengulangi kesalahan lampau dengan cara melakukan kebaikan kepada orang lain dalam tempoh tertentu.

"Saya berpendapat penjara sebenarnya bukanlah penyelesaian yang sesuai bagi setiap individu yang melalui sistem keadilan jenayah negara.

"Ini merupakan kesalahan pertama mereka, kemungkinan mereka ini harapan keluarga, sudah tentu pada yang gagal membayar denda itu dari kalangan keluarga miskin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, oleh demikian pihak berkuasa sewajarnya memandang kesan seumur hidup kepada pesalah muda yang melanggar PKP selepas mempunyai rekod banduan.

Sehingga kini, jumlah kes individu didakwa melanggar PKP semakin meningkat melibatkan ramai pesalah muda yang dijatuhi hukuman penjara selepas mereka gagal menjelaskan denda oleh mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Mereka didakwa mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada Rabu lalu, Jabatan Penjara Malaysia dalam satu kenyataan berkata, seramai 378 individu menjalani hukuman penjara kerana melanggar PKP.

Zuhairi berkata, hukuman penjara dikenakan ke atas pesalah muda akan menjarakkan mereka dengan masyarakat dan boleh membawa impak negatif kepada pesalah dari segi psikologi sepanjang menjalani hukuman itu.

"Kesalahan mereka kecil sahaja jika dibandingkan dengan kesalahan jenayah lain yang lebih berat. Kami berharap agar mahkamah menyemak semula hukuman yang dikenakan kerana masih ada alternatif selain memenjara untuk memberi kesedaran kepada pesalah muda.

"Bukanlah asing dalam sistem keadilan jenayah tanah air perintah khidmat masyarakat, tetapi ia perlu diperluaskan kepada pesalah-pesalah lain mengikut kesesuaian," katanya.

Katanya, hukuman seperti itu mewujudkan ruang bagi pesalah muda membuat pemulihan akhlak sekali gus memberi faedah kepada masyarakat.

“Oleh itu, kerajaan wajar meluaskan pelaksanaan hukuman ini melangkaui peruntukkan Seksyen Kanun Tatacara Jenayah sahaja.

"Untuk makluman, berdasarkan Seksyen 293 Kanun Tatacara Jenayah membenarkan mahkamah mengenakan hukuman perintah khidmat masyarakat kepada setiap pesalah muda,” katanya