Jurutadbir didakwa perdaya warga emas percepat permohonan bina bangunan

Muhammad Nazri (kanan) tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa.
Muhammad Nazri (kanan) tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang jurutadbir didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas lima pertuduhan memperdaya lelaki warga emas untuk menyerahkan cek dan wang tunai sebanyak RM62,760 bagi mempercepatkan pembinaan bangunan dua tingkat di Pontian sejak enam tahun lalu.

Muhammad Nazri Abu Bakar, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh yang bekerja di Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) didakwa memperdayakan lelaki berusia 72 tahun menyerahkan tiga cek dan wang tunai keseluruhan berjumlah RM62,760.

Perbuatan itu untuk mendorong mangsa percaya bahawa tertuduh boleh membuat dan mempercepatkan permohonan pembinaan bangunan dua tingkat di atas tanah di Mukim Rimba Terjun, Pontian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara November 2021 hingga 30 Mei 2022 kira-kira jam 11 pagi di Batu 36, Jalan Johor, Pontian.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Muhammad Nazri mengaku tidak bersalah ke atas lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa
Muhammad Nazri mengaku tidak bersalah ke atas lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Faizul Kamarozaman manakala tertuduh diwakili peguam, Mazri Mohammad.

Artikel Berkaitan:

Dalam prosiding berkenaan, pihak pendakwa mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 namun peguam tertuduh memomohon jumlah berkenaan dikurangkan.

Ini kerana tertuduh mempunyai empat orang anak berusia 11 hingga setahun dimana anak sulungnya mengalami austisme.

Hakim kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen pada 7 Mei depan.

Ringkasan AI

  • Seorang jurutadbir didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana memperdaya lelaki warga emas.
  • Tertuduh, Muhammad Nazri Abu Bakar, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan.
  • Dia didakwa menipu mangsa agar menyerahkan cek dan wang tunai sebanyak RM62,760.
  • Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara November 2021 hingga Mei 2022 di Pontian.
  • Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 7 Mei.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!