‘Tak tahu pula Johol ada simpanan besar minyak mentah' - ADUN Johol

KUALA PILAH – “Kalau betullah Johol memiliki simpanan besar minyak mentah dan petrol, untunglah kami.”
Demikian reaksi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman berhubung kenyataan Gabenor Wilayah Davao del Norte, Edwin Jubahib yang memaklumkan telah mengadakan perbincangan awal dengan pihak di daerah itu mengenai perkara berkenaan.
Menurut Saiful Yazan, beliau tidak pasti pihak yang dimaksudkan, malah sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan itu, beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai kewujudan sebarang simpanan bahan api di Johol.
“Saya tidak pasti mereka berbincang dengan siapa dan saya juga tidak menerima sebarang maklumat berkaitan perkara itu.
“Lagipun, di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (Akta 144), hanya Petroliam Nasional Bhd (Petronas) diberi hak eksklusif untuk memiliki dan menguruskan sumber petroleum di negara ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurut laporan media antarabangsa, minyak itu dijangka dibekalkan melalui Petronas.
Kerajaan wilayah berkenaan turut dilaporkan merancang untuk membeli 44 juta liter minyak mentah dan petrol dari Malaysia bagi membantu mengekang kenaikan harga bahan api di wilayah itu yang terjejas akibat konflik di Asia Barat.
Bagaimanapun, Petronas dalam kenyataannya menafikan sebarang penglibatan berhubung cadangan pembekalan bahan api membabitkan sebuah kerajaan tempatan di selatan Filipina seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.
Petronas memberitahu, syarikat itu tidak mengetahui cadangan tersebut dan tidak menandatangani sebarang perjanjian atau komitmen berkaitan.
Ringkasan AI
- ADUN Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman tidak pasti mengenai simpanan minyak di Johol.
- Perbincangan awal mengenai simpanan minyak di Johol didakwa dilakukan tanpa pengetahuan Saiful Yazan.
- Di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974, hanya Petronas diberi hak eksklusif untuk sumber petroleum di Malaysia.
- Kerajaan wilayah Davao del Norte merancang membeli minyak dari Malaysia untuk mengekang kenaikan harga bahan api.
- Petronas menafikan penglibatan dalam cadangan pembekalan bahan api kepada kerajaan tempatan di Filipina.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

