Pas Selangor cadang tarik lesen seumur hidup pemandu mabuk sebabkan kematian

SHAH ALAM – Pas Selangor mencadangkan tindakan lebih tegas termasuk menarik balik lesen memandu seumur hidup terhadap individu yang disabitkan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian.
Pesuruhjayanya, Ab Halim Tamuri berkata, langkah itu wajar dilaksanakan sebagai usaha melindungi keselamatan awam selain memberi pengajaran keras kepada pesalah.
Menurutnya, pihaknya memandang serius insiden kemalangan maut melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol yang terus berulang sekali gus menunjukkan pendekatan sedia ada masih belum mencukupi.
"Situasi ini membuktikan undang-undang serta penguatkuasaan ketika ini belum cukup menggerunkan.
"Ketegasan tidak memberi makna jika pelaksanaannya longgar dan tidak konsisten," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ab Halim berkata, walaupun kerajaan telah meningkatkan hukuman terhadap kesalahan itu, namun ia dilihat belum mampu memberi kesan pencegahan yang benar-benar berkesan.
Sehubungan itu, Pas Selangor turut mencadangkan agar pampasan disalurkan secara automatik kepada keluarga mangsa tanpa perlu melalui proses saman sivil yang panjang dan membebankan.
Katanya, pendekatan berasaskan prinsip diyat juga boleh dipertimbangkan sebagai mekanisme tambahan dalam kerangka perundangan sedia ada selaras dengan nilai keadilan.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan penubuhan pangkalan data khas bagi mengenal pasti individu yang mempunyai ketagihan alkohol bagi tujuan pemantauan dan intervensi lebih sistematik.
Tambahnya, usaha pencegahan perlu diperkasakan melalui penyediaan sokongan seperti kaunseling percuma serta program pemulihan bagi membantu individu yang berdepan masalah ketagihan.
"Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan memerlukan tindakan lebih tegas, menyeluruh serta berani daripada kerajaan," jelas beliau.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan, seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh kereta dipandu individu di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Raya Barat, Klang, kira-kira jam 11.40 pagi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal serta dua kereta iaitu Honda City dan Perodua Myvi.
Ringkasan AI
- Pas Selangor cadang tarik balik lesen memandu seumur hidup bagi pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.
- Langkah ini untuk melindungi keselamatan awam dan memberi pengajaran kepada pesalah.
- Undang-undang sedia ada dianggap tidak cukup berkesan dan memerlukan ketegasan serta pelaksanaan konsisten.
- Cadangan pampasan automatik kepada keluarga mangsa tanpa saman sivil yang membebankan.
- Penubuhan pangkalan data khas dan sokongan untuk masalah ketagihan alkohol dicadangkan untuk pemantauan dan intervensi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

