Cuaca panas ‘rahsia’ harumanis lebih manis

Ahmad Ikhram menunjukkan mangga harumanis yang sedang menunggu masa untuk dituai di ladang harumanis di Kampung Tok Keling, Alor Mengkudu di Alor Setar.
Ahmad Ikhram menunjukkan mangga harumanis yang sedang menunggu masa untuk dituai di ladang harumanis di Kampung Tok Keling, Alor Mengkudu di Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Cuaca panas yang melanda negara ketika ini dilihat memberi kelebihan tersendiri kepada penghasilan mangga harumanis di Kedah apabila buah tersebut menjadi lebih manis serta berkualiti tinggi.

Pengarah Usima Agriculture, Ahmad Ikhram Mohd Yusof berkata, suhu tinggi dan cuaca kering memainkan peranan penting dalam proses pematangan buah malah turut menyumbang kepada peningkatan nilai pasaran harumanis yang merupakan produk pertanian premium negeri ini.

Menurutnya, cuaca panas membantu meningkatkan kandungan gula semula jadi sekali gus menghasilkan buah yang lebih manis, berisi padat dan beraroma kuat.

“Apabila cuaca panas dan kurang hujan, buah menjadi lebih manis, isinya padat serta aromanya lebih kuat,” katanya ketika ditemui di ladang Harumanis di Kampung Tok Keling, Alor Mengkudu di sini.

Jelas Ahmad Ikhram, cuaca panas juga membantu mengurangkan serangan kulat sekali gus menjadikan buah lebih cantik dan tidak memerlukan semburan racun yang kerap.

Menurutnya, biarpun keadaan cuaca memberikan cabaran dari segi penjagaan pokok, hasilnya sangat berbaloi kerana buah yang dituai berada pada tahap terbaik.

“Pemantauan dilakukan dengan pemeriksaan buah dibuat dua hingga tiga hari sebelum tarikh kutipan bagi memastikan kualiti terbaik.

“Tahun lalu, sebanyak 17,000 biji harumanis dihasilkan di ladang kami, manakala tahun ini meningkat kepada kira-kira 30,000 biji iaitu pertambahan lebih 50 peratus” ujarnya yang menjual harumanis pada sekitar harga RM40 sekilogram.

Artikel Berkaitan:

Dari kiri; Dzowahir, dan pengusaha harumanis, Datuk Yusof Ismail serta Ahli Dewan Undangan Negeri Derga, Muhammad Amri Wahab meninjau tanaman mangga harumanis di Kampung Tok Keling, Alor Mengkudu di Alor Setar.
Dari kiri; Dzowahir, dan pengusaha harumanis, Datuk Yusof Ismail serta Ahli Dewan Undangan Negeri Derga, Muhammad Amri Wahab meninjau tanaman mangga harumanis di Kampung Tok Keling, Alor Mengkudu di Alor Setar.

Tambahnya, teknik penjagaan seperti pembalutan buah dan kawalan air membantu memastikan setiap biji harumanis mencapai standard tinggi sebelum dipasarkan.

Sementara itu, Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Negeri Kedah, Dzowahir Ab Ghani berkata, faktor cuaca panas di negeri ini menjadikan Kedah antara kawasan paling sesuai di Semenanjung Malaysia untuk penanaman harumanis.

Beliau memberitahu, ketika ini dianggarkan kira-kira 150,000 pokok harumanis ditanam di Kedah dan jumlah itu disasarkan meningkat kepada 500,000 pokok dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.

“Kemanisan harumanis Kedah sememangnya diiktiraf dan cuaca panas memainkan peranan penting dalam memastikan kualiti buah berada pada tahap terbaik,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, fenomena cuaca panas turut memberi kelebihan kepada tanaman lain seperti nanas apabila buah yang dihasilkan menjadi lebih manis berbanding musim biasa.

Walau bagaimanapun, katanya, suhu melampau yang mencecah lebih 40 darjah Celsius memberi kesan negatif kepada sektor pertanian lain khususnya tanaman padi.

“Ramai pesawah terjejas akibat kekurangan bekalan air susulan cuaca panas berpanjangan yang menyebabkan paras takungan semakin menyusut ke tahap kritikal.

“Situasi itu turut menjejaskan jadual penanaman padi di beberapa kawasan, terutama di luar bandar yang bergantung sepenuhnya kepada sistem pengairan sedia ada,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pelbagai usaha sedang dilaksanakan termasuk penyelenggaraan sistem saliran dan pengairan bagi memastikan bekalan air mencukupi serta mengelakkan kerosakan tanaman.

Ringkasan AI

  • Cuaca panas meningkatkan kemanisan dan kualiti mangga harumanis di Kedah. Suhu tinggi mengurangkan serangan kulat, menjadikan buah lebih cantik. Tahun ini, pengeluaran harumanis meningkat lebih 50 peratus berbanding tahun lalu. Kedah disasarkan untuk menanam 500,000 pokok harumanis dalam lima tahun. Cuaca panas memberi kesan negatif pada tanaman padi akibat kekurangan bekalan air.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!