Bosan, panas enjin kereta antara alasan ingkar PKP

Pihak polis melakukan sekatan jalan sepanjang tempoh PKP di daerah Kemaman. Foto: Ihsan IPD Kemaman
Gambar kecil: Hanyan Ramlan
Pihak polis melakukan sekatan jalan sepanjang tempoh PKP di daerah Kemaman. Foto: Ihsan IPD Kemaman Gambar kecil: Hanyan Ramlan
A
A
A

KEMAMAN - Alasan bosan dan ingin memanaskan enjin kereta antara jawapan tidak munasabah diberikan ketika sekatan polis sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, selain alasan itu, terdapat lagi beberapa alasan diberikan dan dilihat tidak masuk akal sehingga melanggar arahan sepanjang penguatkuasaan PKP.

"Ada antara mereka yang keluar rumah dengan memberikan alasan yang dilihat tidak logik seperti boring (bosan) duduk di rumah serta ingin mencari kawan.

"Ini antara alasan-alasan popular yang biasa diterima oleh pihak polis yang melakukan sekatan jalan sepanjang tempoh PKP ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, menurutnya, seramai sembilan individu ditahan kerana mengingkari arahan PKP dalam sekatan jalan yang dilakukan selepas jam 5 petang semalam.

"Daripada jumlah itu, dua individu ditahan di kawasan Kemasik, dua di Binjai dan lima di kawasan Felda Cerul menjadikan jumlah kumulatif yang ditahan ialah seramai 40 orang," katanya.

Kesemua ditahan mengikut Peraturan 7 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Artikel Berkaitan: