Langgar PKP untuk jual dadah

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A
A

JOHOR BAHRU - Selain tokan dadah, alasan seperti bosan berada di rumah, mahu membeli makanan serta mahu beriadah dengan berjoging atau bermain bola antara alasan diberikan oleh 59 individu yang ditahan polis semalam kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata, bagi melepaskan diri ada juga memberi alasan mahu isi minyak kereta atau motosikal tetapi sebenarnya hendak jumpa kawan atau teman wanita.

Beliau berkata, tidak kurang juga ada individu yang menggunakan alasan terpengaruh dengan ajakan rakan untuk melepak di rumah dan berkumpul sambil minum minuman keras.

"Ada yang sengaja mereka cerita kononnya mahu membeli makanan, mahu pergi farmasi dan sebagainya. Malah ada juga yang ditahan beri alasan tidak memahami arahan PKP.

"Lebih teruk, selepas kita siasat ada yang ditahan itu merupakan pengedar atau tokan mahu menjual dadah kerana penagih dadah tegar sedang mencari bekalan dadah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, pihaknya tidak bertolak ansur selepas mendapati mereka bersalah kerana amaran dan peringatan sudah banyak kali diberikan tetapi tetap ingkar.

Katanya, tangkapan itu menjadikan keseluruhan yang ditahan di seluruh negeri sejak 18 Mac lalu sehingga semalam berjumlah 792 orang.

Artikel Berkaitan:

Semua tangkapan itu katanya, didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Menurutnya, jika mana-mana individu ditangkap dan disabit kesalahan kerana ingkar perintah mana-mana pegawai yang diberikan kuasa, mereka akan disabit di bawah Seksyen 24 Akta 342 dan boleh dipenjara tidak lebih dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, jika didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan (3) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengiystiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 pula boleh disabit dengan Peraturan 7 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 yang boleh didenda RM1,000.