Covid-19: Orang asli terima bantuan Tabung Musa'adah

Bantuan akan diagihkan secara adil tanpa ada antara yang tercicir termasuk orang asli yang tinggal di pedalaman di seluruh negara.
Bantuan akan diagihkan secara adil tanpa ada antara yang tercicir termasuk orang asli yang tinggal di pedalaman di seluruh negara.
A
A
A

GUA MUSANG - Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan RM81 juta untuk bantuan makanan kepada golongan asnaf dan orang asli yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19) di seluruh negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary berkata, peruntukan yang besar itu membuktikan kerajaan prihatin terhadap nasib hidup rakyat khususnya golongan terbabit yang mungkin menghadapi kekurangan bekalan makanan di rumah dalam tempoh PKP ini.

Beliau berkata, bantuan itu akan diagihkan secara adil tanpa ada antara mereka yang tercicir termasuk juga orang asli yang tinggal di pedalaman di seluruh negara.

“Kerajaan menyedari PKP menghalang mereka bergerak bebas di luar rumah dan membeli barang keperluan.

"Bagaimanapun, kita (kerajaan) setakat ini belum ada menerima laporan orang asli yang kebuluran kerana kehabisan makanan di rumah mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk orang asli di Kampung Kuala Lah di sini hari ini.

Bantuan makanan kepada orang asli itu dibuat menerusi Tabung Musa'adah Covid-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk pusingan pertama dengan dana tabung terbabit hasil sumbangan pelbagai pihak.

Ahmad Marzuk berkata, orang asli juga bijak menyesuaikan diri dalam tempoh PKP ini dengan menjaga kesihatan dan berkurung di dalam rumah.

Katanya, sebelum ini mereka juga ada menerima bantuan daripada jabatan kerajaan lain, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk meringankan beban perbelanjaan.

Artikel Berkaitan:

"Tabung Jakim itu dapat mengumpulkan dana jutaan ringgit dan mampu menampung perbelanjaan menyediakan bantuan makanan untuk golongan asnaf dan Orang Asli," katanya sambil memberi jaminan bantuan pusingan kedua untuk mereka akan disediakan sekiranya kerajaan melanjutkan lagi tempoh PKP. - Bernama