Senator gesa Marcos Jr hidupkan semula tuntutan Filipina ke atas Sabah yang kaya minyak

MANILA – Senator Filipina, Robin Padilla, menggesa Presiden Ferdinand Marcos Jr. untuk menghidupkan semula tuntutan negara itu ke atas Sabah, wilayah kaya sumber minyak yang terletak di Pulau Borneo.
Dalam kenyataan di Facebook pada Rabu, Padilla berkata sudah tiba masanya Manila bertindak tegas bagi ‘menuntut hak’ yang didakwanya milik Filipina, termasuk menghantar wakil rasmi ke kawasan berkenaan.
“Presiden, sekarang adalah masa untuk kita menghidupkan semula tuntutan sah ke atas Sabah.
"Kita mesti bertindak dan menghantar utusan. Borneo Utara sudah pun kaya dengan sumber minyak,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar jurucakap Pengawal Pantai Filipina, Laksamana Muda Jay Tarriela bersama pasukannya digerakkan bagi memperkukuh tuntutan tersebut.
Menurutnya, semangat patriotik pasukan itu wajar disalurkan ke Sabah dengan kehadiran yang konsisten ‘ketika air surut mahupun pasang’.
Sabah ketika ini merupakan sebahagian daripada Malaysia, namun Filipina terus membuat tuntutan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ferdinand Marcos Jr. sebelum ini mengisytiharkan darurat tenaga negara susulan kenaikan harga bahan api yang dipacu konflik di Asia Barat.
Beliau turut mengarahkan pelaksanaan pelan berskala besar bagi melindungi pekerjaan, bekalan makanan, sumber pendapatan, sektor pengangkutan dan industri ketika krisis berkenaan berpotensi mengganggu bekalan tenaga negara. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

