YBK kukuh agenda basmi kemiskinan, santuni hampir sejuta individu

SHAH ALAM – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) berjaya memperkukuh agenda membasmi kemiskinan apabila menyantuni lebih 200,000 keluarga atau hampir satu juta individu sepanjang 36 tahun penubuhannya sejak 1990.
Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, kejayaan itu hasil sokongan warga kerja, rakan strategik serta 100,000 sukarelawan di seluruh negara.
"Perjuangan YBK bukan sekadar membasmi kemiskinan dari sudut material, malah merangkumi aspek pemikiran, nilai dan tanggungjawab dalam kalangan masyarakat.
"Yayasan ini berpegang kepada falsafah memberi joran, bukan ikan, dengan menekankan usaha memperkasa penerima melalui ilmu, kemahiran serta peluang untuk berdikari," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, pendekatan tersebut diperkukuh menerusi strategi Lautan Biru dan konsep Semangat Mendaki yang memberi penekanan kepada inovasi serta penerokaan peluang baharu dalam pembangunan komuniti.
Dalam masa sama ujarnya, YBK turut memainkan peranan sebagai pemudah cara dengan menghubungkan komuniti sasaran bersama agensi kerajaan, sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Antara inisiatif dilaksanakan termasuk program Jelajah Sejuta Harapan yang membolehkan bantuan disalurkan secara lebih cepat dan menyeluruh kepada golongan memerlukan.
"Selain itu program lain seperti Asrama Kasih YBK, Akademi Kemahiran YBK dan Sinar Kasih Ramadan turut memperkukuh jaringan kerjasama strategik dalam usaha membantu komuniti keluar daripada kitaran kemiskinan," jelasnya.

Dalam masa sama Zainal Abidin memaklumkan, YBK akan terus fokus kepada pembangunan modal insan khususnya dalam bidang pendidikan, kemahiran dan pembinaan jati diri bagi melahirkan masyarakat berdaya tahan dan bermaruah.
"Ulang tahun ke-36 ini bukan sekadar pencapaian, tetapi simbol kesinambungan perjuangan yang masih jauh daripada selesai," katanya.
Ringkasan AI
- Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) menyantuni lebih 200,000 keluarga atau hampir satu juta individu sejak 1990
- Kejayaan YBK disokong oleh warga kerja, rakan strategik dan 100,000 sukarelawan di seluruh negara
- YBK mengamalkan falsafah memberi joran bukan ikan, menekankan pemberdayaan penerima melalui ilmu, kemahiran dan peluang
- Pendekatan YBK diperkasa dengan strategi Lautan Biru dan Semangat Mendaki yang menekankan inovasi dan penerokaan peluang baharu
- YBK juga memainkan peranan sebagai pemudah cara, menghubungkan komuniti sasaran dengan agensi kerajaan, sektor korporat dan NGO
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

