Bekalan makanan diagihkan kepada penduduk terlibat PKPD

Bantuan makanan terus diagihkan kepada penduduk terlibat.
Bantuan makanan terus diagihkan kepada penduduk terlibat.
A
A
A

HULU LANGAT - Bantuan bekalan makanan terus ditambah dan diagihkan kepada penduduk yang terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sungai Lui.

Pusat Maklumat Rakyat Pejabat Penerangan Daerah Hulu Langat menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, para petugas barisan hadapan dari pelbagai agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Penerangan Daerah Hulu Langat telah menghantar bekalan makanan di kawasan Sungai Lui semalam.

Menurutnya, terdapat empat stesen dibuka untuk penduduk mendapatkan barangan keperluan iaitu Dewan Orang Ramai Taman Desa Kerinchi, Surau An-Nur, Dewan Orang Asli Kampung Sungai Gabai dan Dewan Orang Asli Kampung Paya Lebar.

"Sebanyak 300 kit makanan diperuntukkan untuk dua stesen iaitu di Dewan Orang Ramai Taman Desa Kerinchi dan Surau An-Nur manakala 200 kit makanan lagi dibekalkan di dua stesen iaitu Dewan Orang Asli Sungai Gabai dan Dewan Orang Asli Kampung Paya Lebar," katanya.

Dalam pada itu, katanya, bancian penduduk juga dilakukan bermula jam 9 pagi hingga 4 petang semalam.

"Bancian dijalankan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam, Rela, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Penerangan Daerah Hulu Langat untuk memastikan tidak ada penduduk yang dilupakan," katanya.

Terdahulu, seramai 3,918 penduduk merangkumi 700 rumah di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor diarahkan menjalani PKPD.

PKPD di kawasan itu turut melibatkan tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu berkuatkuasa mulai tengah malam, 30 Mac 2020 hingga 13 April 2020.

Artikel Berkaitan: