Perang Asia Barat: Kos sara hidup kekal jadi keutamaan, kerajaan sedia intervensi segera

Anwar mempengerusikan mesyuarat MTEN pada Rabu. Foto Pejabat Perdana Menteri
Anwar mempengerusikan mesyuarat MTEN pada Rabu. Foto Pejabat Perdana Menteri
A
A
A

PUTRAJAYA – Kesejahteraan rakyat khususnya isu kos sara hidup terus menjadi keutamaan kerajaan meskipun negara berdepan tekanan ekonomi global serta ketidaktentuan geopolitik semasa.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah intervensi awal secara proaktif dan tuntas bagi memastikan beban rakyat dapat dikawal.

Menurutnya, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang meneliti perkembangan semasa termasuk implikasi ekonomi susulan konflik di Asia Barat.

“Walaupun masih dalam suasana perayaan Hari Raya Aidilfitri, kesejahteraan rakyat kekal menjadi keutamaan dan perhatian utama kerajaan,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Rabu.

Anwar berkata, kerajaan turut menggembleng usaha menjamin keterjaminan bekalan tenaga, termasuk mempelbagaikan sumber dan meneroka laluan alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada laluan berisiko seperti Selat Hormuz.

"Situasi ini akan terus dipantau rapi, dengan maklumat disalurkan secara telus kepada rakyat.

"Dalam mendepani cabaran ini, ketenangan, disiplin dan semangat kebersamaan amat penting untuk memastikan negara kekal stabil dan berdaya tahan," jelasnya.

Serangan Amerika Syarikat (AS) bersama sekutunya, Israel ke atas Iran tidak menunjukkan sebarang keredaan biarpun telah memasuki minggu ke empat sejak ia mula dilancarkan pada 28 Februari lalu.

Pertempuran yang berterusan sekali gus menyaksikan situasi di Asia Barat kekal tegang termasuk ancaman terhadap laluan tenaga global seperti Selat Hormuz, yang dikawal Iran.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kesejahteraan rakyat dan isu kos sara hidup menjadi keutamaan kerajaan Malaysia
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan langkah intervensi untuk mengawal beban rakyat
  • Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara membincangkan kesan ekonomi konflik di Asia Barat
  • Kerajaan mengutamakan keterjaminan bekalan tenaga dan mengurangkan kebergantungan kepada laluan berisiko seperti Selat Hormuz
  • Situasi ketegangan di Asia Barat, termasuk ancaman terhadap Selat Hormuz, tetap di bawah pemantauan kerajaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!