Anwar, Luxon bincang konflik Asia Barat, Malaysia kecam serangan terhadap Iran

Anwar semasa perbualan telefon dengan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon. Foto FB Anwar Ibrahim
Anwar semasa perbualan telefon dengan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon. Foto FB Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia mengecam keras serangan ketenteraan terhadap Iran serta menolak sebarang tindakan unilateral yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pendirian itu dinyatakan semasa perbualan telefon dengan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon dan menegaskan Malaysia terus menggesa gencatan senjata segera, perlindungan orang awam serta penyelesaian melalui saluran diplomasi.

"Sewaktu perbualan telefon dengan rakan sejawat saya dari New Zealand, Christopher Luxon, kami bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan di Asia Barat serta kesannya terhadap keselamatan dan ekonomi global,” kata Anwar menerusi hantaran di laman Facebook.

Beliau berkata, kedua-dua pemimpin itu juga menyentuh kesan daripada konflik Iran-Israel terhadap sektor tenaga New Zealand termasuk peningkatan harga bahan api dan tekanan terhadap ekonomi domestik.

Perdana Menteri berkata, beliau turut menyambut baik langkah proaktif kerajaan New Zealand dalam memperkukuh keselamatan tenaga serta mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu.

"Dalam masa yang sama, kami menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala di bawah kerangka Perkongsian Strategik, termasuk dalam bidang perdagangan, pelaburan dan kerjasama tenaga.

"Kami akan terus berhubung rapat dalam mendepani cabaran semasa demi kepentingan bersama,” kata Anwar. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Malaysia mengecam keras serangan ketenteraan terhadap Iran dan menolak tindakan unilateral yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa
  • Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan pendirian Malaysia semasa perbualan telefon dengan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon
  • Malaysia menggesa gencatan senjata segera, perlindungan orang awam dan penyelesaian melalui saluran diplomasi
  • Perbincangan menyentuh kesan konflik Iran-Israel terhadap sektor tenaga New Zealand termasuk peningkatan harga bahan api
  • Malaysia dan New Zealand berkomitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama tenaga

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!