Kritikan Rafizi beri ‘durian runtuh’ kepada Pas, PN

Pengundi hari ini tidak hanya melihat kepada janji, tetapi juga kestabilan dan kesepakatan dalam kepimpinan. Gambar kecil: Lokman
Pengundi hari ini tidak hanya melihat kepada janji, tetapi juga kestabilan dan kesepakatan dalam kepimpinan. Gambar kecil: Lokman
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kritikan terbuka oleh bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dilihat memberi kelebihan politik kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN), khususnya dalam menarik sokongan pengundi Melayu.

Aktivis Pas, Lokman Bonyamin berkata, situasi tersebut ibarat ‘durian runtuh’ kepada pembangkang apabila perbezaan pandangan dalam kerajaan dizahirkan secara terbuka.

“Dalam politik, persepsi itu penting. Bila pemimpin dalam kerajaan sendiri saling mengkritik, ia memberi gambaran kerajaan tidak stabil dan tidak sehaluan.

“Ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada Pas dan PN kerana mereka dilihat lebih konsisten dan tidak bercanggah secara terbuka,” katanya.

Menurutnya, sebagai antara arkitek utama Parti Keadilan Rakyat (PKR), setiap kritikan Rafizi membawa mesej besar kepada rakyat kerana beliau memahami struktur dalaman kerajaan.

“Apabila beliau sendiri bersuara kritikal, ia bukan sekadar pandangan biasa, tetapi memberi isyarat bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam pelaksanaan dasar kerajaan,” ujarnya.

Tambah beliau, keadaan itu turut memberi kesan terhadap keyakinan pengundi, khususnya golongan atas pagar yang cenderung menilai kestabilan sesebuah kerajaan.

“Pengundi hari ini tidak hanya melihat kepada janji, tetapi juga kestabilan dan kesepakatan dalam kepimpinan.

“Apabila kerajaan dilihat berpecah atau bercelaru, pengundi akan mencari alternatif yang dilihat lebih stabil, dan di sinilah Pas serta PN mendapat kelebihan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, katanya, isu ekonomi dan kos sara hidup yang masih dirasai rakyat menambahkan lagi tekanan terhadap kerajaan.

“Walaupun angka ekonomi nampak baik, rakyat di bawah masih bergelut. Bila kritikan datang dari dalam kerajaan sendiri, ia menguatkan lagi persepsi bahawa pendekatan sedia ada belum memadai,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan situasi berkenaan berpotensi mempengaruhi corak sokongan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Jika keadaan ini berterusan dan tidak ditangani dengan baik, tidak mustahil sokongan pengundi akan beralih arah kepada pihak yang dilihat lebih tersusun dan konsisten,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kritikan terbuka oleh bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi kelebihan politik kepada Pas dan Perikatan Nasional dalam menarik sokongan pengundi Melayu
  • Perbezaan pandangan dalam kerajaan dilihat sebagai gambaran kerajaan tidak stabil dan tidak sehaluan, memberi kelebihan kepada Pas dan PN
  • Kritikan Rafizi memahami struktur dalaman kerajaan, menunjukkan adanya masalah dalam pelaksanaan dasar kerajaan
  • Kestabilan dan kesepakatan dalam kepimpinan menjadi pertimbangan utama pengundi, memperkuat posisi Pas dan PN sebagai alternatif yang lebih stabil
  • Isu ekonomi dan kos sara hidup menambahkan tekanan terhadap kerajaan, menguatkan persepsi bahawa pendekatan sedia ada belum memadai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!