MFL laksana pengurangan gaji kakitangan

Ab Ghani Hassan
Ab Ghani Hassan
A
A
A

SELEPAS Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan mengenai pelaksanaan pemotongan gaji kakitangannya sebanyak 10 hingga 20 peratus berikutan pandemik Covid-19 baru-baru ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pula menyusul dengan tindakan sama semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan berkenaan dicapai hasil mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL yang dipengerusikan presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin, menerusi persidangan video, Isnin lalu.

Menurutnya, langkah pengurangan gaji semua kakitangan MFL akan dilaksanakan mulai April ini sehingga PKP ditarik balik kelak.

“Langkah pengurangan gaji sebanyak 10 dan 20 peratus itu terpaksa diambil sebagai langkah penjimatan selepas pihak pengurusan mengambil kira setiap aspek dengan teliti terutama kesan ekonomi yang melanda dunia akibat pandemik Covid-19 ketika ini.

“MFL percaya langkah berkenaan adalah yang terbaik dalam usaha untuk terus menjaga kebajikan kakitangan walaupun ia sesuatu yang berat untuk dilaksanakan oleh pihak pengurusan.

“Menerusi perbincangan bersama, kesemua kakitangan sepakat untuk menerima keputusan itu bagi memastikan MFL terus bergerak ke depan,” katanya menerusi satu kenyataan media, semalam.

Untuk rekod, pandemic Covid-19 ketika ini menyaksikan MFL terpaksa menangguhkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020 ini membabitkan pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier, Shopee Piala FA selain TM Piala Malaysia dan Challenge Cup.

Penangguhan yang bermula 16 Mac lalu, dua hari sebelum arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh pihak kerajaan itu turut membabitkan saingan liga amatur iaitu Liga M3 dan Liga M4 di bawah kelolaan Amateur Football League (AFL).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ab Ghani berkata, langkah berkenaan bagaimanapun tidak memberikan kesan kepada operasi MFL yang sentiasa bersedia untuk menyambung kembali saingan Liga-M berdasarkan keadaan semasa pandemik Covid-19.

“Biarpun langkah ini diambil, ia tidak memberi kesan kepada operasi MFL yang sentiasa bersedia untuk menyambung semula Liga Malaysia berdasarkan keadaan semasa wabak Covid-19 jika perintah PKP ditarik balik oleh kerajaan.

“MFL juga percaya semua kakitangan memahami keputusan yang diambil dan akan terus bersama mengharungi detik mencabar ini demi bola sepak Malaysia,” katanya.