Sokongan sektor swasta kritikal dalam hadapi Covid-19: MARC

Institusi perbankan komersial boleh membantu menyokong ekonomi dengan berkesan menggunakan kecairan yang disediakan oleh BNM dengan memberi pinjaman kepada perniagaan yang memerlukan.
Institusi perbankan komersial boleh membantu menyokong ekonomi dengan berkesan menggunakan kecairan yang disediakan oleh BNM dengan memberi pinjaman kepada perniagaan yang memerlukan.
A
A
A

SHAH ALAM – Malaysia Rating Corporation Berhad (MARC) berkongsi pandangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai jangkaan kemerosotan ekonomi negara yang ketara tahun ini terutama akibat daripada wabak Covid-19.

MARC dalam kenyataannya hari ini berpandangan, perniagaan kecil adalah kumpulan paling teruk terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan hari ini bagi mencegah penularan wabak.

Menurut MARC lagi, langkah kerajaan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin sebanyak RM250 bilion atau 17 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah memberikan kelegaan kepada banyak pihak.

“Memandangkan ruang fiskal yang terhad kerajaan, kami merasakan sektor swasta dapat memainkan peranan penting dalam memastikan ekonomi Malaysia kekal kukuh dalam jangka panjang.

“Sebagai contoh, institusi perbankan komersial boleh membantu menyokong ekonomi dengan berkesan menggunakan kecairan yang disediakan oleh BNM dengan memberi pinjaman kepada perniagaan yang memerlukan misalnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai prospek baik,” kata MARC.

Kata MARC lagi, sejarah menunjukkan bahawa ketika kemelesetan pada hujung 2008, kelulusan pinjaman untuk perniagaan dalam sistem perbankan jatuh pada purata 28 peratus antara pertengahan tahun 2008 dan pertengahan 2009.

Selain itu, MARC menegaskan ekonomi memerlukan suntikan dana yang segar dari bank melalui pinjaman perniagaan untuk pulih seperti sediakala.

“Kami perhatikan bahawa sektor perbankan berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding sebelum tahun 1998 dan 2009. Pada bulan Februari 2020, nisbah modal keseluruhan sektor ini jauh lebih tinggi pada 18.4 peratus (2008: 12.6 peratus). Kualiti aset kekal stabil tahun lepas dengan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) pada akhir tahun pada 1.5 peratus.

Artikel Berkaitan:

“Pengalaman kami semasa krisis kewangan Asia menunjukkan sasaran pertumbuhan pinjaman BNM sebanyak 8 peratus yang dikenakan ke atas bank untuk melengkapkan Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (NERP) yang dilaksanakan pada tahun 1998 membantu ekonomi pulih dalam tahun-tahun berikutnya,” katanya.

Sementara itu, MARC menyarankan dana modal, dana harta dan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat (CDRC) ditubuhkan bagi membantu bank-bank memanfaatkan semula dan menyusun semula hutang lapuk supaya mereka dapat meneruskan pemberian pinjaman kepada entiti perniagaan.

“Kesimpulannya, dengan ekonomi yang sedang mengalami tempoh paling mencabar, bank perdagangan mempunyai peranan penting dalam mengekalkan kemakmuran ekonomi jangka panjang.

“Mereka (bank-bank) telah melakukan pekerjaan yang hebat untuk menyokong ekonomi Malaysia dalam tempoh-tempoh selepas krisis kewangan Asia dan krisis kewangan global, mereka pasti boleh terus melakukannya sekali lagi,” kata kenyataan itu.