Bangkit lawan kanser tahap empat, kini bantu pesakit lain

Diuji penyakit kanser tidak menghalang Khairuman menjalankan perniagaan menjual ayam periuk.
Diuji penyakit kanser tidak menghalang Khairuman menjalankan perniagaan menjual ayam periuk.
A
A
A

PONTIAN – Disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada 2017 tidak mematahkan semangat seorang lelaki tekad terus berjuang meneruskan kehidupan.

Menurut Md Khairuman Abu, 52, penyakit itu mula dikesan selepas hilang selera makan teruk bermula Oktober 2017 sebelum kesihatannya semakin merosot pada awal 2018.

“Berat badan saya turun mendadak daripada 84 kilogram (kg) kepada 65kg sehingga satu tahap saya langsung tidak boleh makan.

“Doktor mendapati keputusan darah tidak normal dan meminta saya menjalani imbasan CT sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui pada awalnya berasa takut untuk menjalani rawatan kemoterapi dan memilih mendapatkan rawatan tradisional.

Namun, pada Januari 2020, Khairuman berkata, dia memulakan rawatan kemoterapi di HSA dan perlu menjalani 12 kali rawatan.

Khairuman menunjukkan mesin oksigen disumbangkan melalui Kelab Sokongan Pesakit Kanser bagi membantu pesakit yang memerlukan rawatan.
Khairuman menunjukkan mesin oksigen disumbangkan melalui Kelab Sokongan Pesakit Kanser bagi membantu pesakit yang memerlukan rawatan.

Menurutnya, perubahan positif dapat dirasai sejurus selepas rawatan pertama apabila selera makannya kembali pulih dan dapat tidur dengan lebih baik.

Artikel Berkaitan:

“Sepanjang kemoterapi, banyak kesan sampingan dialami seperti rambut gugur, kuku menjadi hitam, gigi longgar dan kulit menjadi gelap.

“Tetapi saya kuatkan semangat untuk meneruskan rawatan,” katanya.

Sebelum diuji penyakit, Khairuman bekerja sebagai kontraktor kanopi dan menjalankan perniagaan kambing golek.

Namun, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perniagaan kanopi tidak dapat diteruskan menyebabkan dia mendapat idea menghasilkan ayam bakar periuk.

"Selepas tamat kemoterapi pertengahan 2021, saya sekali lagi diuji apabila dijangkiti kuman pada jantung ketika membersihkan ayam.

“Doktor kata peluang saya untuk hidup sangat tipis, tetapi dengan rawatan antibiotik selama empat minggu, Alhamdulillah saya kembali pulih,” katanya.

Dalam masa sama, pengalaman melawan penyakit itu mendorongnya menubuhkan Kelab Sokongan Kanser Pontian bersama bekas pesakit kanser lain.

Melalui kelab tersebut, Khairuman membantu pesakit kanser di sekitar Pontian dengan menyediakan pelbagai keperluan asas seperti katil pesakit, lampin pakai buang dan mesin oksigen.

 

Ringkasan AI

  • Disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada 2017
  • Mula dikesan setelah hilang selera makan pada Oktober 2017 dan berat badan turun drastik
  • Pada Januari 2020 memulakan rawatan kemoterapi di Hospital Sultanah Aminah
  • Alami kesan sampingan kemoterapi seperti rambut gugur, kuku hitam, gigi longgar, kulit gelap tetapi semangat tidak patah
  • Menubuhkan Kelab Sokongan Kanser Pontian untuk membantu pesakit kanser dengan keperluan asas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!