X

Kindly register in order to view this article
!

Jurugambar kongsi rezeki agih barang keperluan harian

Antara barangan keperluan harian yang diberikan kepada golongan memerlukan. - Foto Facebook Erie Weil
A
A

MARANG - Kesempitan hidup dialami mereka yang kehilangan pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendorong seorang jurugambar dari Kampung Sungai Kerak di sini berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

Sebanyak 100 bungkusan mengandungi keperluan harian seperti ayam, beras, gula, minyak dan tepung diagihkan kepada golongan memerlukan termasuk penduduk setempat.

Lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Erie Weil, 43, berkata, dia berharap bantuan itu dapat meringankan bebanan mereka yang terkesan buat waktu ini.

Katanya, walaupun dia sendiri turut tiada punca pendapatan buat masa ini, kisah mereka yang lebih teruk ditimpa ujian hidup lebih meruntun jiwanya.

"Saya amat terkesan apabila terbaca kisah yang dikongsi mereka yang tidak mempunyai punca pendapatan malah ada antaranya yang tiada makanan untuk dimakan sedangkan saya masih mampu membeli makanan.

"Ambillah jika itu yang diperlukan. Semua yang datang ke rumah saya boleh ambil barangan itu kerana niat saya untuk menolong mereka yang kesusahan, mereka yang tiada pendapatan sepanjang tempoh PKP ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Bagaimanapun katanya, dia agak terkilan kerana tidak dapat memenuhi permintaan ramai kerana 100 bungkusan itu berjaya diagih tidak sampai satu jam.

Katanya, bekalan tepung tidak dapat diberikan kepada semua disebabkan stok barangan itu telah habis di kedai.

"Saya mula agih barangan ini bermula jam 11 pagi, tak sampai satu jam semua barangan sudah habis.

"Saya agak sedih, sebab sehingga waktu ini pun masih ada yang menelefon bertanyakan barangan bantuan.

"Insya-ALLAH, kalau dimurahkan rezeki ada peluang selepas ini saya akan buat lagi sumbangan begini," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!