PGSMP tawar khidmat guaman syarie percuma bantu waris mangsa tragedi Cerating Damai

Dr Hasiah menyampaikan sumbangan PGSMP ketika menyantuni waris mangsa pada Selasa. Foto PGSMP
Dr Hasiah menyampaikan sumbangan PGSMP ketika menyantuni waris mangsa pada Selasa. Foto PGSMP
A
A
A

KUANTAN - Persatuan Peguam Syarie Malaysia Pahang (PGSMP) menawarkan khidmat rundingan serta guaman syarie percuma bagi membantu waris lima sekeluarga yang ditemui mati dalam tragedi menyayat hati di Taman Cerating Damai di sini Februari lalu bagi menuntut hak mereka menurut undang-undang.

Komitmen itu khususnya bagi urusan tuntutan harta pusaka dan harta sepencarian supaya hak-hak waris dapat diuruskan secara lebih tersusun, adil dan berlandaskan lunas perundangan syariah.

Pengerusi PGSMP, Dr Hasiah Mat Salleh berkata, tragedi seumpama itu bukan sahaja meninggalkan luka emosi mendalam kepada keluarga malah sering menimbulkan pelbagai persoalan besar berkaitan hak waris, pembahagian harta, dokumentasi dan proses perundangan yang perlu dihadapi dalam keadaan serba sukar.

Menurutnya, ramai waris yang berdepan kehilangan tragis tertekan, bingung dan tidak mempunyai pengetahuan mencukupi tentang saluran undang-undang bagi membantu mereka mendapatkan pembelaan sewajarnya.

“PGSMP hadir bukan sekadar untuk merakamkan simpati tetapi memastikan waris mangsa tidak dibiarkan berjuang sendirian.

"Kami bersedia menawarkan khidmat rundingan guaman syarie dan bantuan guaman percuma bagi urusan tuntutan harta pusaka serta harta sepencarian demi menjaga kebajikan serta membela hak waris,” katanya.

Beliau sebelum itu hadir menyantuni waris mangsa menerusi lawatan kebajikan dan khidmat masyarakat pada Selasa.

Pada lawatan sama, Dr Hasiah turut menyampaikan sumbangan PGSMP kepada waris sebagai tanda sokongan moral dan keprihatinan berterusan persatuan terhadap keluarga tersebut.

Katanya, pendekatan turun padang seperti itu amat penting bagi membolehkan pihaknya melihat sendiri realiti kehidupan keluarga yang terkesan, di samping memahami dengan lebih dekat keperluan sebenar mereka dari sudut kebajikan, emosi dan perundangan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PGSMP, Abdullah Hakim Ahmad berkata, profesion peguam tidak seharusnya dilihat hanya dalam ruang lingkup prosiding mahkamah semata-mata sebaliknya turut memikul amanah besar untuk melaksanakan kebajikan kepada masyarakat.

Beliau berkata, tugas peguam bukan hanya berhujah di mahkamah atau mengendalikan dokumen perundangan tetapi juga melaksanakan kebajikan.

"Peguam perlu hadir mendampingi masyarakat, khususnya ketika mereka diuji dengan musibah, agar kepakaran yang ada benar-benar menjadi alat pembelaan dan rahmat kepada rakyat.

"Inisiatif yang dilaksanakan PGSMP dilihat sebagai satu langkah mulia dan berimpak tinggi dalam memperkasa fungsi sosial profesion peguam syarie khususnya dalam membela golongan yang berdepan kehilangan, kesedihan dan ketidakpastian masa depan," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Persatuan Peguam Syarie Malaysia Pahang menawarkan khidmat rundingan dan guaman syarie percuma untuk waris tragedi di Taman Cerating Damai
  • Khidmat ini termasuk urusan tuntutan harta pusaka dan harta sepencarian
  • Inisiatif ini bertujuan untuk mengurus hak-hak waris secara adil berlandaskan syariah
  • Komitmen PGSMP memastikan waris tidak berjuang sendirian dalam mendapatkan hak mereka
  • Langkah ini dianggap sebagai usaha mulia memperkasa fungsi sosial profesion peguam syarie dalam membantu masyarakat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!