Terminal Feri Kukup sesak, ribuan warga Indonesia 'mudik' raya

Terminal Feri Kukup sesak dengan perantau Indonesia pulang beraya. Gambar kecil: Mohd Toha, Yusliza
Terminal Feri Kukup sesak dengan perantau Indonesia pulang beraya. Gambar kecil: Mohd Toha, Yusliza
A
A
A

PONTIAN – Kemeriahan menjelang Hari Raya Aidilfitri semakin terasa apabila lebih 8,000 perantau warga Indonesia 'mudik' atau pulang ke kampung halaman masing-masing melalui Terminal Feri Antarabangsa Kukup sejak Sabtu lalu.

Tinjauan di terminal berkenaan mendapati kebanyakan penumpang sudah tiba seawal jam 4 pagi bagi mendapatkan tiket bagi perjalanan ke Tanjung Balai dan Selat Panjang.

Warga Indonesia, Mohd Toha Hussien, 48, berkata, dia bertolak Segamat pada tengah malam sebelum sempat bersahur di Kukup sekitar jam 4.30 pagi.

"Sudah setahun saya bekerja di ladang kelapa sawit di Segamat. Saya cukup bergembira dapat pulang beraya jumpa anak di Tanjung Balai.

“Walaupun tiba awal di Kukup, tetapi saya dapat tiket feri jam 11 pagi. Ramai sudah menunggu di Kukup untuk balik raya tetapi keadaan di sini agak teratur," katanya. katanya.

Bagi Yusliza Ismail, 50, yang bekerja di sebuah kedai makan di Pekan Nanas sejak dua tahun lalu, peluang untuk pulang beraya bersama tiga anaknya amat dinantikan.

“Saya gembira kerana dapat tiket lebih awal. Saya bawa pulang biskut raya untuk anak-anak," katanya yang akan pulang ke Selat Panjang.

Suasana sibuk di kaunter tiket Kukup ketika perantau Indonesia bersiap pulang ke kampung.
Suasana sibuk di kaunter tiket Kukup ketika perantau Indonesia bersiap pulang ke kampung.

Sementara itu, Penolong Eksekutif Operasi Terminal Feri Kukup, Mohd Azmir Mansor berkata, peningkatan jumlah penumpang sempena Aidilfitri direkodkan bermula Sabtu lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jumlah penumpang harian yang kebiasaannya sekitar 500 hingga 600 orang kini meningkat kepada antara 1,200 hingga 1,400 orang sehari.

“Bagi menampung peningkatan ini, jumlah perjalanan feri ditambah dari tiga perjalanan feri sehingga tujuh perjalanan feri sehari.

“Waktu operasi bermula seawal 6.30 pagi dengan perjalanan pertama pada jam 8 pagi, diikuti beberapa perjalanan feri tambahan sehingga 6 petang,” katanya.

Tambahnya, tempoh tujuh hari sebelum Aidilfitri dijangka menjadi waktu puncak dengan sekurang-kurangnya empat perjalanan tambahan setiap hari bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang.

Mengulas mengenai kemasukan semula ke Malaysia selepas Aidilfitri, beliau berkata, peningkatan penumpang dijangka berlaku tiga hingga empat hari.

Bagi memastikan operasi berjalan lancar, pihak terminal turut petugas selain menambah baik susun atur pergerakan penumpang dan kaunter tiket.

“Setakat ini keadaan masih terkawal walaupun jumlah penumpang meningkat,” katanya.

 

Ringkasan AI

  • Lebih 8,000 perantau warga Indonesia 'mudik' pulang ke kampung halaman melalui Terminal Feri Antarabangsa Kukup menjelang Hari Raya Aidilfitri Penumpang sudah tiba seawal jam 4 pagi untuk mendapatkan tiket perjalanan ke Tanjung Balai dan Selat Panjang
  • Jumlah penumpang harian meningkat dari 500-600 orang menjadi 1,200-1,400 orang sehari sempena Aidilfitri
  • Jumlah perjalanan feri ditambah dari tiga hingga tujuh perjalanan sehari untuk menampung peningkatan penumpang
  • Operasi terminal diatur untuk memastikan kelancaran pergerakan penumpang dan menambah baik susun atur pergerakan penumpang dan kaunter tiket

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!