UMNO buka pintu terima semula ahli, perkukuh parti - Ahmad Maslan

KUCHING - Inisiatif 'Rumah Bangsa' oleh UMNO dilihat sebagai pendekatan luar biasa bagi memperkukuh parti itu di Semenanjung dan Sabah, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Beliau berkata, usaha itu juga bertujuan memastikan UMNO terus relevan bukan hanya ketika musim pilihan raya tetapi sepanjang masa.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, sebuah jawatankuasa khas telah diwujudkan bagi menguruskan permohonan termasuk daripada pemimpin yang telah dipecat atau keluar parti untuk menyertai semula UMNO.
"Pendekatan kami adalah untuk ‘memaafkan dan melupakan’. Ketika ada parti lain mengambil tindakan memecat ahli, kami pula membuka ruang untuk menerima mereka kembali,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media dan juga Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Sarawak di sini pada Selasa.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, beberapa tokoh telah menunjukkan minat untuk kembali menyertai UMNO dan pengumuman lanjut akan dibuat dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sebelum ini berkata inisiatif 'Rumah Bangsa' terbuka kepada semua tanpa mengenakan sebarang syarat, termasuk bekas pemimpin UMNO.
Dua bekas pemimpin kanan UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaludin dilaporkan telah mengemukakan surat permohonan untuk kembali menyertai parti itu, yang disahkan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki menerusi hantaran di Facebook semalam. - Bernama
Ringkasan AI
- Inisiatif 'Rumah Bangsa' oleh UMNO bertujuan memperkukuh parti di Semenanjung dan Sabah
- UMNO ingin kekal relevan bukan hanya ketika pilihan raya tetapi sepanjang masa
- Dibentuk jawatankuasa khas untuk mengurus permohonan menyertai semula parti
- Pendekatan 'memaafkan dan melupakan' untuk menerima semula bekas ahli
- Beberapa tokoh sudah tunjuk minat untuk kembali ke UMNO, termasuk dua bekas pemimpin kanan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
