KJ serah surat rayuan kembali sertai UMNO

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO pada Ahad.
Perkembangan itu dikongsikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Facebooknya pada Isnin.
"Alhamdulillah, dalam keberkatan malam ke-26 Ramadan semalam, saya menerima kunjungan saudara Khairy Jamaluddin yang hadir menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO.
"Inilah antara makna sebenar Rumah Bangsa, sebuah ikhtiar untuk menemukan semula yang pernah berpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan dan menghimpunkan semula kita dalam satu keluarga besar perjuangan," katanya.
Ujarnya, secara peribadi beliau telah menerima permohonan tersebut dan akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk diperhalusi dan diperakukan sewajarnya.
"Dalam perjalanan perjuangan ini seperti yang sering saya sebut - biduk lalu, kiambang bertaut, yang lebih utama ialah mencari jalan penyatuan, bukan membiarkan perpecahan terus memisahkan kita.
"Mudah-mudahan Rumah Bangsa menjadi asas untuk kita mempertemukan semula hati-hati yang pernah terpisah, memperkukuh saf perjuangan dan mengembalikan kekuatan UMNO sebagai induk politik orang Melayu dan umat Islam di tanah air ini," katanya.
Khairy sebelum ini secara terbuka mengumumkan hasrat untuk kembali menyertai parti itu menerusi agenda Rumah Bangsa.
Khairy yang dipecat UMNO empat tahun lalu itu melihat kenyataan Ahmad Zahid yang membuka pintu penyatuan tanpa syarat sebagai perkembangan positif dan peluang murni buat dirinya.
Ringkasan AI
- Khairy Jamaluddin menyerahkan surat rayuan untuk kembali ke UMNO pada Ahad
- Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkongsi perkembangan ini di Facebook pada Isnin
- Surat rayuan Khairy diserahkan dalam keberkatan malam ke-26 Ramadan
- Permohonan tersebut akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk diperhalusi
- Ahmad Zahid menekankan pentingnya penyatuan, mengutamakan perpaduan daripada membiarkan perpecahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
