Akta 872 masih kabur, perlu garis panduan jelas - RPM

MELAKA - Persatuan Rakan Penghantar Melaka (RPM) menegaskan cadangan penubuhan Tribunal Pekerja Gig di bawah Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) perlu disertakan dengan garis panduan jelas agar tidak menambah beban pekerja sektor itu.
RPM dalam satu kenyataan berkata, perkara itu penting bagi memastikan kejelasan dari segi bidang kuasa, skop pendengaran serta mekanisme penyelesaian pertikaian antara pekerja gig, platform dan pihak berkepentingan lain.
Menurut kenyataan itu, perincian sedia ada dilihat masih kabur dan berpotensi mewujudkan pertindihan dengan mekanisme penyelesaian pertikaian sedia ada jika tidak diperjelaskan.
“Tanpa perincian dari aspek prosedur dan penguatkuasaan, keadaan ini akan menimbulkan ketidakpastian dalam pelaksanaan undang-undang di lapangan.
“Malah, ia tidak membantu membela nasib pekerja gig, sebaliknya hanya menambah kerenah birokrasi,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, walaupun Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan telah diluluskan di Parlimen, proses libat urus yang masih berjalan menunjukkan ia belum bersedia untuk dikuatkuasakan tanpa penambahbaikan.
Dalam pada itu, RPM turut membangkitkan kebimbangan terhadap cadangan penubuhan Majlis Perundingan Gig yang memerlukan peraturan lebih telus dari segi struktur keanggotaan, kaedah pelantikan serta tahap wakil sebenar pekerja gig.
Ujar kenyataan itu, tanpa jaminan wakil yang seimbang, majlis tersebut berisiko menjadi sekadar platform perundingan formal tanpa mengambil kira suara sebenar pekerja gig di lapangan.
“RPM mencadangkan agar kerajaan melaksanakan moratorium terhadap Akta 872 serta menubuhkan jawatankuasa khas melibatkan wakil pekerja gig bagi merangka semula prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan pelaksanaan secara menyeluruh.
“RPM menegaskan tidak menolak usaha kerajaan mengawal selia industri gig, namun menolak sebarang penggubalan undang-undang tanpa ketelitian teknikal dan tanpa penglibatan sebenar pemain industri kerana dikhuatiri akan membebankan pekerja,” ujar kenyataan itu.
Ringkasan AI
- Akta 872 masih kabur, perlu garis panduan jelas - RPM
- RPM menekankan penubuhan Tribunal Pekerja Gig perlu disertai garis panduan yang jelas
- Perincian sedia ada dalam Akta tersebut dilihat kabur dan berpotensi mewujudkan pertindihan
- Tanpa perincian jelas, pelaksanaan undang-undang akan menimbulkan ketidakpastian
- RPM mencadangkan moratorium terhadap Akta 872 dan pembentukan jawatankuasa khas untuk merangka SOP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

