Penangan 'Lemang Tok Singa', 100 batang licin dalam tempoh 18 minit

KUALA NERUS – Bermula hanya untuk mencuba, namun penangan Lemang Tok Singa ternyata luar biasa apabila 100 batang lemang yang disediakan untuk jualan terus itu habis terjual dalam tempoh 18 minit sahaja.
Hasil air tangan warga Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD Para) itu kini menjadi buruan utama penduduk sekitar Kuala Nerus dan Seberang Takir sebagai juadah berbuka puasa dan persiapan menjelang Aidilfitri.

Pegawai Memerintah 18 RAMD (Para), Leftenan Kolonel Mohd Ashafiq Abdul Aziz berkata, pemilihan nama 'Tok Singa' melambangkan identiti pasukan mereka iaitu Aslan’s Warrior atau lebih dikenali sebagai Singa Para.
Menurut beliau, rahsia utama yang menarik minat pelanggan adalah pengekalan cara penyediaan tradisional sepenuhnya walaupun di zaman serba moden.
"Kami mengekalkan penggunaan kayu api, santan segar yang baru diperah, beras pulut gred terbaik serta penggunaan daun lerek yang berkualiti tinggi.
"Malah, aspek kebersihan amat kami titikberatkan. Setiap buluh akan dilap dan dibersihkan terlebih dahulu demi menghasilkan kualiti lemang yang terbaik dan bersih untuk pelanggan," katanya ketika ditemui di gerai Lemang Tok Singa di sini.

Mohd Ashafiq berkata, pengeluaran lemang kini ditingkatkan kepada 250 batang sehari bagi menampung permintaan yang sangat menggalakkan daripada rakyat Terengganu, malah ada pelanggan yang datang dari Kuantan, Pahang dan Kelantan.
"Pada mulanya kami hanya menjual 50 batang lemang pada hari pertama sebagai percubaan dan semuanya habis dijual sekitar 3 petang.
“Melihat sambutan yang sangat menggalakkan, kami tingkatkan pengeluaran kepada 100 batang pada hari kedua sebelum menambah kepada kira-kira 250 batang setiap hari dan tempahan biasanya sudah habis menjelang 12 tengah hari," ujarnya.

Beliau berkata, penglibatan mereka dalam pembuatan lemang ini juga mempunyai tujuan yang lebih murni iaitu untuk berkongsi rezeki bersama masyarakat.
"Ini kali pertama Tok Singa berpeluang berkongsi rezeki lemang original bersama rakyat Terengganu. Sebagai tanda syukur, kami turut memberikan 10 hingga 20 batang lemang secara percuma setiap hari kepada golongan memerlukan, ibu mengandung dan OKU.
"Ia selaras dengan Tonggak Keenam Perintah Ulung Panglima Angkatan Tengera (PAT) Ke-24 iaitu 'ATM Bersama Masyarakat, Bagai Aur Dengan Tebing' yang melambangkan kesatuan dan perpaduan," katanya.
Bagi memastikan lebih ramai rakyat Terengganu dapat merasai keaslian lemang tersebut, pihak 18 RAMD (Para) akan meningkatkan produksi kepada 600 batang sehari bermula hari ini sehingga hari raya ketujuh.
Gerai yang terletak di hadapan Kem Seri Pantai, Seberang Takir itu dibuka seawal jam 9 pagi dan orang ramai dinasihatkan untuk membuat tempahan awal supaya tidak terlepas peluang menikmati juadah tersebut.
"Biasanya kita menyediakan 80 kilogram pulut dan 80 kg santan untuk memenuhi permintaan pelanggan. Namun untuk Hari Raya Aidilfitri nanti kita akan tambah lagi bahan kerana kita jangka terdapat peningkatan tempahan.
"Dengan harga RM20 sebatang, pelanggan akan berpuas hati dengan saiz yang besar dan padat dengan rasa lemak santan asli. Ingat lemang, ingat Lemang Tok Singa," katanya.
Ringkasan AI
- Lemang Tok Singa yang dibuat oleh anggota Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja di Kuala Nerus menjadi buruan utama penduduk setempat untuk berbuka puasa dan Aidilfitri
- Nama 'Tok Singa' diambil dari identiti pasukan mereka, Aslan's Warrior atau Singa Para
- Penyediaan lemang menggunakan kaedah tradisional seperti kayu api, santan segar, beras pulut gred terbaik, dan daun lerek berkualiti tinggi
- Pengeluaran lemang ditingkatkan menjadi 250 batang sehari untuk memenuhi permintaan tinggi dari rakyat Terengganu, dan juga dari Kuantan dan Kelantan
- Inisiatif ini juga bertujuan untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat dengan memberikan lemang percuma kepada golongan memerlukan, ibu mengandung, dan OKU
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

