Covid-19: 3,026 rakyat Malaysia masih terkandas

Datuk Kamarudin Jaffar
Datuk Kamarudin Jaffar
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Luar mengesahkan setakat hari ini masih terdapat seramai 3,026 rakyat Malaysia yang terkandas di 45 negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, daripada jumlah itu, India merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 1,446 orang.

Menurutnya, negara lain yang mencatatkan sejumlah besar rakyat Malaysia yang terkandas ialah Thailand (259), Australia (152), New Zealand (149), Pakistan (144), Vietnam (131), Arab Saudi (121), Filipina (97), Sri Lanka (61) dan Nepal (50).

"Daripada jumlah 3,026 itu, seramai 2,016 merupakan pelancong atau pelawat jangka pendek.

"Selebihnya merupakan rakyat Malaysia yang menetap atau bermastautin di negara lain atas sebab pekerjaan atau pembelajaran, tetapi membuat perancangan untuk pulang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mereka boleh dikategorikan sebagai terkandas yang tidak kritikal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Khas Covid-19 Kementerian Luar berkata, kerajaan juga sedang menyelaraskan usaha untuk membawa pulang baki rakyat Malaysia yang masih terkandas itu.

"Kementerian juga ingin memaklumkan bahawa sehingga 3 April, seramai 4,577 orang rakyat Malaysia selamat pulang ke tanah air sama ada secara proses repatriasi yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia, sumbangan parti politik, pihak swasta atau dibiayai secara persendirian.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan menyambut baik hasrat pihak yang mahu menghulurkan bantuan bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara," katanya.