Cadang tanam sayur sendiri tak selesai isu keterjaminan makanan – Wan Saiful

Laporan Sinar Harian mengenai Mohamad Sabu mengarahkan pegawainya yang tinggal di rumah atas tanah memulakan tanaman yang memberi pulangan hasil cepat. Foto kecil: Wan Saiful
Laporan Sinar Harian mengenai Mohamad Sabu mengarahkan pegawainya yang tinggal di rumah atas tanah memulakan tanaman yang memberi pulangan hasil cepat. Foto kecil: Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM – Cadangan supaya kakitangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPTM) memulakan tanaman sayur-sayuran sendiri tidak menjawab isu keterjaminan makanan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, meskipun usaha menggalakkan rakyat bercucuk tanam adalah sesuatu yang baik, namun ia bukan jawapan serius dalam menghadapi ketidaktentuan bekalan makanan global.

"Isu keterjaminan makanan adalah isu struktur yang jauh lebih besar. Negara masih bergantung kepada import makanan bernilai berpuluh bilion ringgit setiap tahun.

"Tanaman kecil di halaman rumah, walaupun bermanfaat untuk kegunaan sendiri, tidak mampu memberi kesan signifikan kepada bekalan makanan negara secara keseluruhan.

"Mengulangi pendekatan kempen lama seperti Kempen Buku Hijau tanpa pembaharuan dasar yang menyeluruh juga tidak memadai untuk menangani cabaran sektor pertanian moden," katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilapor akan mengarahkan pegawainya yang tinggal di rumah atas tanah memulakan tanaman yang memberi pulangan hasil cepat.

Menurut Mohamad, program itu akan dimulakan dengan tanaman seperti cili, terung, kucai dan sebagainya.

Dalam pada itu Wan Saiful menjelaskan, isu utama sektor makanan negara hari ini adalah produktiviti yang rendah, pengurangan tanah pertanian, kos input yang semakin meningkat serta kelemahan dalam rantaian bekalan.

Sehubungan itu beliau menegaskan, Mohamad seharusnya bercakap mengenai bagaimana untuk menangani cabaran tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Keterjaminan makanan adalah tanggungjawab dasar negara, bukan sesuatu yang boleh dipindahkan kepada inisiatif individu semata-mata.

"Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada langkah-langkah yang lebih menyeluruh seperti meningkatkan produktiviti pertanian, memperkukuh rantaian bekalan, memperluas penggunaan teknologi pertanian moden serta memastikan dasar yang benar-benar mampu mengurangkan kebergantungan negara kepada import makanan," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Cadangan menggalakkan kakitangan KPTM menanam sayur-sayuran sendiri tidak menjawab isu keterjaminan makanan
  • Usaha bercucuk tanam oleh individu tidak mampu memberi kesan signifikan kepada bekalan makanan negara secara keseluruhan
  • Negara masih bergantung kepada import makanan bernilai berpuluh bilion ringgit setiap tahun
  • Isu utama sektor makanan negara ialah produktiviti rendah, pengurangan tanah pertanian, kos input meningkat, dan kelemahan dalam rantaian bekalan
  • Pentingnya tindakan kerajaan yang lebih menyeluruh untuk mengurangkan kebergantungan kepada import makanan, termasuk meningkatkan produktiviti pertanian dan memperkukuh rantaian bekalan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!