Mat Sabu galak pegawai KPKM tanam sayur di rumah

PUTRAJAYA - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu akan mengarahkan pegawainya yang tinggal di rumah atas tanah memulakan tanaman yang memberi pulangan hasil cepat.
Berucap di sidang akhbar sempena Mesyuarat Khas Kabinet di sini, beliau berkata, program itu akan dimulakan dengan tanaman seperti cili, terung, kucai dan sebagainya.
"Kita akan mulakan program itu seperti Kempen Buku Hijau di zaman (Perdana Menteri) Tun Abdul Razak kerana kita tidak tahu krisis antara Israel, Amerika Syarikat dan Iran tamat," katanya pada Jumaat.
Kempen Buku Hijau merupakan program nasional yang diperkenalkan Abdul Razak pada tahun 1974 ketika beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Kempen itu dilancarkan bagi menggalakkan rakyat menanam makanan sendiri seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan menternak ayam atau ikan sekali gus mengurangkan kebergantungan negara kepada import makanan selain masalah inflasi dan kekurangan makanan yang berlaku pada awal 1970-an.
Dalam pada itu, Mohamad berharap agar konflik itu dapat diselesaikan segara agar tidak menjejaskan bekalan makanan negara.
“Buat masa ini, sambutlah Hari Raya dengan biasa, Insya-ALLAH makanan semuanya cukup dan terjamin bekalannya,” katanya.
Ringkasan AI
- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, akan memulakan program tanaman cepat hasil untuk pegawai yang tinggal di rumah atas tanah
- Program tersebut akan melibatkan tanaman seperti cili, terung, dan kucai
- Inisiatif ini diilhamkan oleh Kempen Buku Hijau yang diperkenalkan pada tahun 1974 oleh Tun Abdul Razak
- Kempen Buku Hijau bertujuan menggalakkan rakyat menanam makanan sendiri untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import serta mengatasi masalah inflasi dan kekurangan makanan
- Mohamad berharap konflik antara Israel, Amerika Syarikat, dan Iran dapat diselesaikan untuk mengelakkan impak terhadap bekalan makanan negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

