'Dia mungkin sakit sangat, tapi tak mahu orang bersedih' - Sathiya ceria walau diuji


Sathiya menjalani pembedahan memotong kaki kirinya susulan komplikasi kencing manis.
Sathiya menjalani pembedahan memotong kaki kirinya susulan komplikasi kencing manis.
A
A
A

PELAWAK dan pelakon veteran, Sathiya Periasamy, 62, baru-baru ini menjalani pembedahan memotong kaki kirinya susulan komplikasi kencing manis.

Dalam perkongsian oleh Caca Raja Lawak yang menziarahi artis senior itu, dia menzahirkan simpati atas ujian yang dihadapi Sathiya.

Malah, kata Caca, Sathiya menunjukkan semangatnya yang luar biasa sempat menghiburkan tetamu yang menziarahi.

“Dia mungkin sakit sangat, tapi demi tidak mahu orang bersedih di atas apa yang berlaku, dia tetap kuatkan semangat.

"Boleh lagi hendak hiburkan semua orang. Semoga menjadi inspirasi kepada semua orang. Sathiya the legend,” kata Caca.

Dalam perkembangan terbaharu, Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) mempertimbangkan untuk menyenaraikan artis veteran itu sebagai antara penerima bantuan pencen bulanan sebanyak RM500.

Pengerusinya, Datuk DJ Dave berkata, Sathiya layak mendapat bantuan berkenaan berikutan kaki kirinya terpaksa dipotong akibat komplikasi kencing manis.

Memetik portal berita tempatan, DJ Dave sedang pertimbangkan untuk menyenaraikan Sathiya sebagai penerima kelapan berikutan keadaannya yang mungkin tidak lagi mampu bekerja.

Katanya lagi, YKAT turut berusaha mendapatkan bantuan kaki palsu sumbangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk Sathiya.

Artikel Berkaitan:

“Kaki palsu tersebut sudah pun siap namun belum dapat digunakan Sathiya kerana luka pembedahan masih belum sembuh,” ujarnya.

Sekadar rekod, Sathiya terkenal menerusi watak Ravi dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada dekad 90-an.

Dia pertama kali terlibat untuk sebuah program komedi berbahasa Tamil di RTM berjudul Kalapadam pada 1 Februari 1985 yang seterusnya membawa Sathiya ke pentas seni tanah air.

Selain Pi Mai Pi Mai Tang Tu, sitkom Baba & Nyonya antara rancangan yang menaikkan namanya.

Sathiya turut membintangi filem seperti Yes, Tuan, KL Menjerit, Setem, Man Laksa, Senario Asam Garam, Gila Gila Remaja 2, Cicakman dan Appalam. - SinarPlus

 

 

Ringkasan AI

  • Sathiya Periasamy menjalani pembedahan memotong kaki kirinya akibat komplikasi kencing manis
  • Caca Raja Lawak menzahirkan simpati dan memuji semangat Sathiya yang masih mampu menghiburkan tetamu
  • Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) mempertimbangkan memberi bantuan pencen bulanan RM500 kepada Sathiya
  • Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave, menyatakan Sathiya layak menerima bantuan dan juga sedang usahakan bantuan kaki palsu daripada Perkeso
  • Sathiya terkenal melalui watak Ravi dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan terlibat dalam pelbagai produksi terkenal sejak 1985

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!