Peranan media kukuhkan keyakinan masyarakat terhadap polis

Antara pengamal media yang hadir sempena Majlis Iftar JSJ bersama Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman pada Jumaat.
Antara pengamal media yang hadir sempena Majlis Iftar JSJ bersama Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Media bukan sahaja memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat, tetapi turut membantu pihak berkuasa menangani cabaran landskap jenayah yang semakin kompleks hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, peranan media membentuk persepsi dan keyakinan masyarakat terhadap agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, landskap jenayah kini semakin kompleks apabila berubah daripada jenayah fizikal kepada digital, selain membabitkan rangkaian rentas sempadan serta lebih terancang.

"Dalam konteks ini, media memainkan peranan penting bukan sahaja menyampaikan maklumat kepada masyarakat, malah turut membentuk persepsi awam serta tahap keyakinan masyarakat terhadap agensi penguatkuasaan, khususnya JSJ," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Iftar JSJ bersama Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, di sini pada Jumaat.

Tambah Kumar, dalam melaksanakan tanggungjawab itu, media juga perlu bijak menilai masa serta cara penyampaian sesuatu maklumat supaya tidak menjejaskan kepentingan awam.

Menurutnya, pemilihan masa atau ‘timing’ dalam menyiarkan laporan juga penting bagi memastikan maklumat disampaikan secara tepat tanpa menimbulkan salah faham atau menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

"Saya akur dan menerima hakikat tanggungjawab besar yang dipikul oleh rakan media, namun anda juga mempunyai obligasi moral dan undang-undang untuk memastikan keamanan serta kesejahteraan sentiasa terpelihara, sekali gus memperkukuh ukhuwah dan silaturahim sesama kita.

"Saya tidak mengatakan (maklumat) perlu diolah atau disembunyikan. Kita perlu menyampaikan perkara yang benar sudah berlaku tetapi penggunaan ayat dan masa (penyiaran) juga penting.

Artikel Berkaitan:

“Kita semua mendukung satu misi sama iaitu memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terjamin. Bezanya, media menggunakan pena, manakala kami menggunakan undang-undang dan elemen sedia ada untuk memastikan keselamatan serta keharmonian sejagat sentiasa terpelihara,” ujarnya.

Jelas beliau, JSJ merakamkan penghargaan terhadap komitmen dan profesionalisme media dalam melaporkan isu jenayah secara berfakta dan bertanggungjawab.

Katanya, laporan media turut membantu PDRM meningkatkan kesedaran masyarakat, menyalurkan maklumat penting serta menyokong usaha pencegahan jenayah.

"Namun menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan setiap laporan berkaitan kes jenayah disampaikan dengan penuh ketelitian dan integriti.

"Sebarang spekulasi, penyiaran maklumat yang belum disahkan atau pendedahan yang boleh menjejaskan siasatan boleh memberi implikasi besar terhadap proses keadilan dan keselamatan masyarakat," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Media memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat dan membentuk persepsi masyarakat terhadap agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia
  • Landskap jenayah semakin kompleks, berpindah daripada jenayah fizikal ke digital, melibatkan rangkaian rentas sempadan dan lebih terancang
  • Media perlu bijak menilai masa dan cara penyampaian informasi untuk tidak menjejaskan kepentingan awam dan siasatan
  • Keselamatan masyarakat dijamin melalui penyiaran maklumat yang tepat dan bertanggungjawab oleh media
  • JSJ menghargai komitmen dan profesionalisme media dalam melaporkan isu jenayah secara berfakta dan bertanggungjawab

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!