Jaringan keselamatan kewangan penting bagi aliran modal

A
A

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) menyambut baik sebarang usaha untuk memperkukuh jaringan keselamatan kewangan serantau dan global bagi menangani impak negatif globalisasi kewangan serta memastikan aliran modal yang lebih selamat.

Atas dasar itu, Penolong Gabenor BNM, Marzunisham Omar berkata, negara-negara ASEAN+3 (China, Jepun dan Korea Selatan) telah mencatat pencapaian penting di bawah Inisiatif Pelbagai Hala Chiang Mai apabila saiz dana itu berlipat ganda kepada US$240 bilion pada 2014.

“Bagi kemajuan masa depan, perkara penting yang perlu dipertimbangkan adalah menyertakan pelbagai pengaturan swap dan jaringan keselamatan kewangan serantau dengan jaringan keselamatan Tabung Kewangan Antarabangsa dalam satu kerangka terperinci yang dapat mempertingkatkan aspek saling melengkapi.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Asas ekonomi Malaysia kekal kukuh, kata Bank Dunia ]

"Ini juga sekali gus dapat mempertingkat keberkesanan ekonomi negara sedang pesat membangun dalam menangani ketidaktentuan aliran modal jangka pendek," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Bank Dunia bertajuk 'Globalisation: Contents and Discontents' di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Marzunisham berkata, aspek kedua adalah keperluan bagi ekonomi sedang pesat membangun itu untuk sentiasa memperkemas mekanisme dasar masing-masing dalam usaha menangani pelbagai risiko serta memastikan pelaksanaan lebih fleksibel.

“Apa yang jelas, ketidaktentuan aliran modal itu memberi cabaran kepada penggubal dasar ekonomi sedang pesat membangun bagi melindungi kewangan dan kestabilan makroekonomi," katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan perubahan dasar itu agar lebih pragmatik serta berdasarkan risiko yang sedang ditangani.

Marzunisham berkata, globalisasi kewangan juga terbukti mencatat pertumbuhan ketara dengan aliran pasaran ekuiti dan bon kumulatif global kini 80 kali lebih besar daripada angka pada 2000 serta jauh melebihi aliran dagangan.

Malah, katanya, sekiranya diuruskan dengan betul, usaha penyepaduan kewangan dapat memacu peruntukan modal produktif yang lebih cekap serta pemindahan ilmu beserta manfaat berkaitan.

Bagaimanapun, tegas Marzunisham, globalisasi kewangan disertai oleh aliran portfolio jangka pendek dengan ketidaktentuan yang ketara dan menjejaskan pasaran kewangan ekonomi sedang pesat membangun.

“Di Malaysia, aliran keluar masuk modal telah meningkat hampir tiga kali ganda selepas berlakunya krisis kewangan global. Kita juga, sepertimana negara sedang pesat membangun lainnya, turut mengalami beberapa episod aliran keluar yang amat ketara.

"Namun, kita dapat menangani situasi itu dengan cara yang tepat bersandarkan sokongan asas makroekonomi yang kukuh serta pasaran kewangan teguh dan meluas," katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia