Konflik Asia Barat: 2,745 rakyat Israel cedera, 14 maut sejak 28 Februari

TEL AVIV – Kementerian Kesihatan Israel melaporkan seramai 2,745 orang cedera akibat serangan peluru berpandu dan dron Iran sejak konflik ketenteraan antara Israel-Amerika Syarikat dan Iran yang tercetus pada 28 Februari lalu.
Menurut kenyataan kementerian itu pada Khamis, seramai 85 mangsa masih dirawat di hospital, termasuk 11 orang dalam keadaan serius, mencerminkan kesan berterusan serangan balas Iran terhadap kawasan awam di Israel.
Dalam tempoh 24 jam terakhir sahaja, sebanyak 179 orang dilaporkan cedera, termasuk empat mangsa mengalami kecederaan sederhana manakala 18 lagi cedera akibat kesan gelombang letupan.
Pada masa sama, Institut Kajian Keselamatan Negara (INSS) Universiti Tel Aviv mengesahkan bahawa 14 rakyat Israel terbunuh sejak bermulanya operasi ketenteraan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran pada akhir Februari lalu.
Serangan terbaharu itu berlaku ketika pasukan keselamatan Israel memeriksa kawasan berhampiran Tel Aviv yang dilaporkan terkena peluru berpandu balas Iran.
Serangan tersebut menyebabkan kerosakan harta benda dan memaksa pasukan keselamatan dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan serta menilai tahap kemusnahan.
Namun begitu, laporan mengenai jumlah korban di Israel dikatakan tertakluk kepada penapisan ketat pihak berkuasa.
Media tempatan dilarang menyiarkan maklumat terperinci mengenai kerosakan atau jumlah mangsa yang disebabkan oleh peluru berpandu Iran atau kumpulan Hizbullah, termasuk rakaman berkaitan serangan tersebut.
Sekatan ini mengehadkan akses awam terhadap gambaran sebenar tahap kemusnahan ketika konflik terus memuncak.
Konflik semasa tercetus selepas AS dan Israel melancarkan operasi ketenteraan terhadap Iran pada 28 Februari, yang menurut pihak berkuasa Teheran telah mengorbankan kira-kira 1,300 orang, termasuk beberapa pegawai kanan kerajaan.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta beberapa negara di rantau itu, termasuk Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.
Pertempuran yang berterusan itu dilaporkan telah menyebabkan kemusnahan besar di kedua-dua pihak, dengan lebih 9,000 sasaran diserang di Iran manakala ribuan bangunan dilaporkan rosak di bandar-bandar utama Israel.
Konflik tersebut kini memasuki hari ke-15, sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai risiko perang yang lebih meluas di Asia Barat.-Agensi
Ringkasan AI
- Kementerian Kesihatan Israel melaporkan 2,745 orang cedera akibat serangan Iran
- Seramai 85 mangsa masih dirawat di hospital dengan 11 orang dalam keadaan serius
- Dalam 24 jam terakhir, 179 orang cedera termasuk 18 akibat kesan gelombang letupan
- 14 rakyat Israel terbunuh sejak konflik bersama Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran bermula
- Media tempatan dilarang menyiarkan maklumat terperinci mengenai kerosakan atau jumlah mangsa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

