UiTM Kedah sasar hasilkan 2,000 alat pelindung muka

Dr Wan Noor Faaizah (kanan) menyerahkan alat pelindung muka kepada petugas Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
Dr Wan Noor Faaizah (kanan) menyerahkan alat pelindung muka kepada petugas Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
A
A
A

MERBOK - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah menyasarkan lebih 2,000 alat pelindung muka dihasilkan bagi memenuhi keperluan petugas barisan hadapan merawat pesakit koronavirus (Covid-19).

Ketua Pusat Pengajian Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) UiTM Kedah, Dr Wan Noor Faaizah Wan Omar berkata, setakat ini, pihaknya berjaya mengagihkan sebanyak 300 unit alat berkenaan kepada petugas di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani menerusi projek 'CSR UiTM Kedah Peduli Kebajikan Frontliners Covid-19'.

Menurutnya, permintaan terhadap alat berkenaan juga diterima dari petugas Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan akan menyediakan kira-kira 300 unit dalam masa terdekat.

"Projek ini tercetus apabila kami melihat keperluan sekitar daerah Kuala Muda dan beberapa permintaan di sekitarnya bagi memenuhi kelengkapan peralatan perubatan yang sangat diperlukan di samping sebagai pengisian kepada penuntut UiTM yang tidak dapat pulang ke kampung akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Atas faktor itu, FSSR mula mengambil inisiatif untuk mengeluarkan topeng muka kami sendiri dan dalam masa sama, beberapa kelab dalaman UiTM turut berminat untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat ini," katanya.

Pelajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka yang masih berada di kampus membantu petugas barisan hadapan menyediakan alat pelindung muka.
Pelajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka yang masih berada di kampus membantu petugas barisan hadapan menyediakan alat pelindung muka.

Wan Noor Faaizah bagaimanapun bersyukur apabila projek berkenaan turut mendapat sumbangan dari orang perseorangan dan Syarikat Pengedar Buku Hasani selain kerjasama Persatuan Wanita UiTM (Pewani), Kelab Staff UiTM dan Batik Merbok yang merupakan salah satu Unit Perniagaan UiTM.

"Hari ni kami akan siap dalam 1,000 unit dan material yang akan diperoleh dari Hasani pula dijangka akan mampu menghasilkan kira-kira 1,000 unit lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, alat berkenaan direka berdasarkan kepakaran FSSR selain mematuhi praktikal dan keselesaan petugas menggunakan ukuran serta warna bersesuaian.

"Di UiTM Merbok, Kedah ini terdapat dua kepakaran reka bentuk iaitu Reka Bentuk Perindustrian dan Reka Bentuk Grafik dan Digital Media di mana tentu sekali rekaan ini dibimbing oleh Unit Kesihatan UiTM mengikut piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Kami memilih warna hijau kerana ianya memberi aura ketenangan dan penyembuhan, diharapkan memberi manfaat kepada petugas dan pesakit dalam usaha merawat Covid-19," katanya.

Menurutnya, hanya 10 pelajar dibenarkan terlibat dalam satu-satu masa selain dipantau 10 kakitangan yang ditugaskan secara bergilir atas nasihat Unit Kesihatan agar tidak berkumpul selain mematuhi arahan PKP.

Berdasarkan rekod, terdapat kira-kira 90 pelajar masih berada di kampus UiTM Merbok itu berikutan arahan PKP yang dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac lalu.

Katanya, sumbangan boleh disalurkan menerusi Akaun BIMB Pewani Uitm Kedah (Ref:Covid-19) bernombor 020-2001-00-454-16 bagi membolehkan ia terus dihasilkan sebagai memenuhi keperluan peralatan perubatan petugas barisan hadapan.