Hilang kerja, 5 beranak termasuk bayi terpaksa tidur dalam kereta

Keluarga berkenaan di tempatkan di rumah transit MAINS. Foto MAINS.
Keluarga berkenaan di tempatkan di rumah transit MAINS. Foto MAINS.
A
A
A

SEREMBAN – Siapa sangka, pada bulan Ramadan ini sebuah kereta menjadi ‘rumah’ kepada lima beranak termasuk seorang bayi berusia lima bulan selepas keluarga berkenaan kehilangan tempat tinggal.

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan, keluarga itu terpaksa bermalam di dalam kereta selama empat malam selepas bapa mereka kehilangan pekerjaan sehingga tidak mampu meneruskan bayaran sewa rumah.

Menurut MAINS, lelaki berkenaan sebelum ini melakukan dua pekerjaan bagi menyara keluarganya.

"Ayah ini sebenarnya bukan orang yang tidak berusaha. Dia bekerja dua pekerjaan, siang memandu lori, malam membantu di gerai burger.

"Semua itu demi tiga orang anak kecilnya. Seorang daripadanya anak autisme berusia empat tahun," katanya pada Rabu.

Menurut MAINS, lelaki berkenaan kehilangan pekerjaan selepas majikannya mengetahui dia merupakan bekas banduan.

Ujarnya, keadaan itu menyebabkan sumber pendapatannya terjejas sekali gus menyukarkannya untuk meneruskan bayaran sewa rumah.

"Satu perkara dari masa lalu kembali menghukum. Sebaik majikan tahu dia merupakan bekas banduan, pekerjaan itu terlepas dari tangannya. Pendapatan hilang. Rumah sewa juga tidak mampu diteruskan dan akhirnya, kereta menjadi tempat berteduh mereka.

"Dalam bulan Ramadan, bayangkan seorang bayi tidur dalam kereta selama empat malam," katanya.

Artikel Berkaitan:

MAINS turut memberikan sumbangan kepada keluarga berkenaan. Foto MAINS
MAINS turut memberikan sumbangan kepada keluarga berkenaan. Foto MAINS

Menurut MAINS, lelaki berkenaan akhirnya tampil sendiri ke pejabat MAINS bagi memohon bantuan untuk meneruskan kehidupan.

MAINS memaklumkan, pasukan mereka dari cawangan Nilai segera turun padang menyantuni keluarga tersebut.

"Hari ini mereka tidak lagi tidur di dalam kereta. Keluarga ini telah dibawa ke Rumah Transit MAINS sementara waktu.

"Menerusi amanah zakat, MAINS juga akan membantu deposit rumah sewa baharu, bayaran sewa sehingga enam bulan dan bantuan kewangan segera, supaya keluarga kecil itu boleh berdiri semula.

"Kadang-kadang kita tidak nampak di sebalik angka zakat yang dibayar, ada sebuah keluarga yang akhirnya mendapat tempat berteduh," katanya.

Dalam pada itu, MAINS menegaskan sokongan masyarakat amat penting bagi golongan seperti ini supaya hidup mereka mampu diuruskan dengan sebaiknya lebih-lebih lagi apabila sesebuah keluarga itu terdiri daripada anak-anak kecil yang sudah pasti memerlukan tempat berteduh dan perlindungan yang baik.

Ringkasan AI

  • Sebuah keluarga lima beranak tinggal dalam kereta selepas kehilangan tempat tinggal
  • Bapa kehilangan pekerjaan kerana bekas banduan, menyukarkan bayar sewa rumah
  • Bekerja dua pekerjaan demi menyara keluarga, termasuk seorang anak autisme
  • MAINS bantu dengan menyediakan Rumah Transit, bayaran sewa, dan bantuan kewangan
  • Sokongan masyarakat penting untuk membantu keluarga terjejas mendapat perlindungan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!