Polis akan panggil Zamri Vinoth bantu siasatan kenyataan berbentuk ugutan

GEORGE TOWN - Polis akan memanggil penceramah bebas Zamri Vinoth berkaitan dakwaan mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan, provokasi, bersifat menghina dan berunsur perkauman yang dibuat dalam video "live” di aplikasi TikTok.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, lelaki itu dipanggil bagi membantu siasatan berhubung satu laporan polis yang dibuat pada 8 Mac lepas.
"Kita perlu panggil beliau bagi membantu siasatan, kemungkinan dalam masa terdekat beliau akan hadir bagi memberi keterangan," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.
Azizee berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sementara itu, beliau berkata, polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes ugutan jenayah dan khianat terhadap kenderaan dipandu Zamri pada 7 Mac lepas.
Beliau berkata, hingga kini enam lelaki berusia 20-an hingga 31 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 427 kanun sama berkaitan perbuatan khianat. - Bernama
Ringkasan AI
- Polis akan memanggil penceramah bebas Zamri Vinoth berkaitan dakwaan membuat kenyataan ugutan dan berunsur perkauman di TikTok
- Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, menyatakan Zamri dipanggil untuk membantu siasatan berdasarkan laporan polis yang dibuat
- Siasatan terhadap Zamri dilakukan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia
- Polis juga sedang siapkan kertas siasatan berhubung kes ugutan jenayah terhadap kenderaan Zamri pada 7 Mac
- Enam lelaki telah ditahan untuk membantu siasatan kes tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
