Budak 12 tahun lemas: LRK Taman Widuri Indah tidak lagi diguna sejak 2015

SEREMBAN - Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Taman Widuri Indah yang meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun pada Jumaat telah dinyahtauliahkan (tidak lagi digunakan) sejak 2015.
Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd dalam kenyataan pada Isnin menjelaskan bahawa kolam tersebut telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk pengurusan selanjutnya.
Menurut IWK Sdn Bhd, apabila sesebuah LRK dinyahtauliahkan, tapak tersebut akan diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk pengurusan.
"Oleh itu, tapak berkenaan tidak lagi berada di bawah operasi atau penyelenggaraan IWK," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun IWK Sdn Bhd akan terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya sebarang maklumat diperlukan.
Menurut kenyataan itu lagi, orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak menceroboh kawasan LRK kerana kawasan loji adalah kawasan larangan serta berbahaya.
"IWK amat berdukacita dengan kejadian malang dan pemergian seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dipercayai terjatuh dan lemas di LRK yang telah dinyahtauliahkan seperti yang dilaporkan semalam.
"IWK ingin merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa dalam menghadapi saat yang amat sukar ini," menurut kenyataan itu.
Ringkasan AI
- Loji Rawatan Kumbahan Taman Widuri Indah telah dinyahtauliahkan sejak 2015
- Indah Water Konsortium Sdn Bhd telah menyerahkan kolam tersebut kepada pihak berkuasa untuk pengurusan
- Tapak berkenaan tidak lagi berada di bawah operasi atau penyelenggaraan IWK
- IWK akan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan
- Orang ramai diingatkan agar tidak menceroboh kawasan LRK yang merupakan kawasan larangan dan berbahaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

