Jalan baharu di Bagan Datuk beri manfaat kepada 7,000 penduduk

Ahmad Zahid (kanan) mendengar taklimat disampaikan Pengarah JKR Perak, Zamri Mat Kassim mengenai laluan baharu berkenaan.
Ahmad Zahid (kanan) mendengar taklimat disampaikan Pengarah JKR Perak, Zamri Mat Kassim mengenai laluan baharu berkenaan.
A
A
A

BAGAN DATUK - Jalan baharu bagi Projek Menaiktaraf Jambatan Sempit di Simpang Masjid Al-Quro’ di sini yang siap lebih awal dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 7,000 penduduk di sembilan kampung sekitar daerah ini.

Pelancaran jalan baharu itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu.

Menurut kenyataan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, projek tersebut dilaksanakan bagi menggantikan jambatan lama yang sempit dan uzur selain berisiko tinggi kepada keselamatan pengguna jalan raya.

"Selain isu keselamatan, kawasan berkenaan turut berdepan kesesakan trafik terutama pada hujung minggu berikutan kehadiran pelancong tempatan dan luar negara ke beberapa lokasi tarikan di Bagan Datuk.

"Antara lokasi yang sering dikunjungi ialah Masjid Tuminah Hamidi, Dataran Bagan Datuk, Taman Bunga Matahari dan Sky Mirror," menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Menurutnya, projek menaik taraf itu diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) Rolling Plan Ketiga yang dibiayai Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) manakala JKR bertindak sebagai agensi pelaksana.

Jalan baharu yang memanfaatkan kira-kira 7,000 penduduk Bagan Datuk.
Jalan baharu yang memanfaatkan kira-kira 7,000 penduduk Bagan Datuk.

Skop kerja melibatkan penggantian jambatan sedia ada yang mempunyai satu lorong dua hala di persimpangan utama Pekan Bagan Datuk yang menghubungkan Kampung Pasang Api dan kawasan berhampiran ke laluan utama Jalan Persekutuan FT069.

Artikel Berkaitan:

Projek tersebut bermula pada 8 Ogos 2024 dengan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan dan dijadualkan siap pada 5 Ogos 2026 dengan kos siling sebanyak RM2.9 juta.

Bagaimanapun, hasil kerjasama dan komitmen semua pihak, projek berkenaan berjaya disiapkan lebih awal iaitu pada 4 Mac 2026, kira-kira lima bulan daripada jadual asal.

JKR memaklumkan, projek tersebut dilaksanakan oleh kontraktor MS Mega Jaya Sdn Bhd dengan kos pembinaan sebenar sebanyak RM2.1 juta sekali gus menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM800,000.

Menurut kenyataan itu, penyiapan projek berkenaan dijangka melancarkan aliran trafik di sekitar Pekan Bagan Datuk serta memberi manfaat kepada kira-kira 7,000 penduduk dari sembilan kampung berhampiran.

Antaranya Kampung Teluk Penikam, Kampung Pasang Api, Kampung Sungai Nipah Baroh, Kampung Sungai Betul, Kampung Sungai Burung, Kampung Sungai Balai Darat, Kampung Matang Kunda, Kampung Kebun Sayur dan Kampung Sungai Pergam.

"Dengan siapnya kemudahan infrastruktur ini, tahap keselamatan pengguna jalan raya serta penduduk setempat akan dapat ditingkatkan.

"Laluan ini juga akan menghubungkan terus ke Jalan Negeri A123, Jalan Persekutuan FT069, Jambatan Sultan Nazrin Shah FT312 serta Lebuhraya Pantai Barat (WCE),” menurut kenyataan itu.

Tambahnya, kesinambungan laluan tersebut dijangka merangsang pertumbuhan sosioekonomi penduduk di Pekan Bagan Datuk selain membantu menarik lebih ramai pelancong ke daerah berkenaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ringkasan AI

  • Jalan baharu bagi Projek Menaiktaraf Jambatan Sempit di Simpang Masjid Al-Quro' di Bagan Datuk memberi manfaat kepada kira-kira 7,000 penduduk
  • Projek dilaksanakan untuk menggantikan jambatan lama yang sempit dan uzur, meningkatkan keselamatan dan mengurangkan kesesakan trafik
  • Diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan dibiayai oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dengan JKR sebagai agensi pelaksana
  • Projek bermula pada 8 Ogos 2024 dengan jangkaan siap pada 5 Ogos 2026 tetapi disiapkan lebih awal pada 4 Mac 2026 dengan kos sebenar RM2.1 juta
  • Penyiapan projek dijangka melancarkan aliran trafik di Pekan Bagan Datuk dan merangsang pertumbuhan sosioekonomi serta tarikan pelancong

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!