Tolong jangan 'tolak' mayat pesakit Covid-19

Tular di laman sosial, ambulans di Banyumas terpaksa berpatah balik apabila mereka dilemparkan batu.
Tular di laman sosial, ambulans di Banyumas terpaksa berpatah balik apabila mereka dilemparkan batu.
A
A
A

JAKARTA - Pihak berkuasa Indonesia memohon rakyat bertenang dan meyakinkan orang ramai supaya jangan bimbang dengan pengebumian mangsa wabak koronavirus (Covid-19) di tanah perkuburan di persekitaran mereka.

Ini berikutan beberapa laporan diterima mengenai bantahan penduduk setempat di beberapa wilayah menolak mayat pesakit Covid-19 dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan kediaman mereka, lapor Kompas.

Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo berkata, beliau amat kecewa dengan berita itu dan menegaskan proses pengebumian mayat pesakit Covid-19 di republik itu mematuhi piawai keselamatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Penolakan mayat ini mula berlaku di beberapa kawasan. Tolong, tolong bantu saya jangan tolak mayat pesakit Covid-19. Mari kita jaga perasaan ahli keluarga mangsa," katanya.

Menurut Ganjar, beliau sendiri bertanyakan kepada pakar mengenai protokol untuk mengendalikan mayat pesakit berkenaan.

"Protokol keselamatan mengkehendaki pihak hospital membersihkan mayat dengan menyembur bahan nyah cemar ke atas mayat, mencuci badan, membalut dengan plastik sebelum diletakkan dalam keranda untuk proses pengebumian.

"Jika jasad dikendalikan seiring garis panduan, ia tidak akan menyebarkan wabak. Ia selamat dan virus pun sama mati.

"Jadi kasihan mereka, mereka itu bukan musuh kita. Jaga perasaan mereka, sudah mereka sakit dengan keadaan kini, tolong jangan tambah rasa sakit itu. Mari memberi sokongan kepada mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, empat buah kampung menolak cadangan untuk mengebumikan mayat di tanah perkuburan berhampiran kerana bimbang penyebaran Covid-19 di kawasan mereka

Masalah sama turut dilaporkan di Depok dan Tasikmalaya di Jawa Barat, Bandar Lampung di Lampung serta wilayah Gowa di Sulawesi Selatan.

Kelmarin, tular video di mana penduduk kampung membuat sekatan, baling batu kepada petugas perubatan bagi menghalang jasad pesakit Covid-19 untuk dikebumikan di kawasan mereka.