'Siapa dia nak tentukan saya boleh sertai PN atau tidak?' - Hamzah

Datuk Seri Hamzah Zainudin
Datuk Seri Hamzah Zainudin
A
A
A

PORT DICKSON - Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan siapa Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga boleh menentukan sama ada beliau boleh menyertai Perikatan Nasional (PN) atau tidak.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, kenyataan yang dibuat Presiden Bersatu terbabit seolah-olah dialah yang berkuasa.

“Dia kata saya tak boleh jadi ahli PN. Siapa dia nak tentukan?

“Saya nak tanya dia, kalau saya boleh jadi ahli PN, adakah dia akan berhenti?

“Kalau dia kata nak berhenti, saya akan cuba sedaya upaya untuk menjadi ahli PN supaya dia boleh berhenti,” katanya ditemui pemberita selepas majlis Moreh Perdana dan Pelancaran Gempur Rasuah Negeri Sembilan anjuran Bersatu Bahagian Port Dickson di sini pada malam Jumaat.

Hamzah (tengah) ketika hadir pada majlis Moreh Perdana dan Pelancaran Gempur Rasuah Negeri Sembilan anjuran Bersatu Bahagian Port Dickson.
Hamzah (tengah) ketika hadir pada majlis Moreh Perdana dan Pelancaran Gempur Rasuah Negeri Sembilan anjuran Bersatu Bahagian Port Dickson.

Sebelum ini, Muhyiddin secara terus terang menyatakan akan menolak sekiranya Hamzah bersama rumah baharunya ingin bekerjasama dengan PN.

Menurutnya, selepas dikhianati, beliau perlu lebih berhati-hati kerana tidak mahu perkara sama berulang.

Artikel Berkaitan:

Selain itu Hamzah berkata, beliau tidak menyangka bahawa ramai dalam kalangan kepimpinan Bersatu termasuklah 118 Ketua bahagian menyokongnya selepas dipecat.

Ujarnya, ia secara tidak langsung menunjukkan parti itu tidak lagi mendapat sokongan ketua bahagian.

"Saya dapat tahu dah melebihi 60 bahagian yang dibubarkan.

"Kalau sayalah jadi presiden, walaupun saya adalah pengasas parti, tapi kalau dah ramai sangat berhenti, maka itu menunjukkan parti ini tiada lagi dokongan daripada pemimpin bahagian," katanya.

Beliau berkata, Muhyiddin sepatutnya mencontohi pengasas UMNO, Datuk Onn Ja'afar yang mengambil tindakan meletakkan jawatan sebagai Presiden selepas melihat ramai barisan kepimpinan parti itu sehaluan dengan pemikirannya.

Ringkasan AI

  • Hamzah Zainudin mempersoalkan keberhakkan Muhyiddin Yassin dalam menentukan keahlian dalam Perikatan Nasional
  • Muhyiddin telah menyatakan akan menolak kerjasama dengan Hamzah jika ingin sertai PN
  • Hamzah menyatakan ramai dalam kepimpinan Bersatu termasuk 118 Ketua bahagian menyokongnya selepas dipecat
  • Lebih 60 bahagian dalam Bersatu telah dibubarkan menunjukkan kurangnya sokongan terhadap kepemimpinan Muhyiddin
  • Hamzah menyarankan Muhyiddin meneladani Datuk Onn Ja'afar yang meletakkan jawatan bila tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan parti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!